GEORGETOWN - Tindakan dua anggota polis membantu beberapa warga emas melintas jalan berdekatan Komtar di sini, mendapat pujian dari netizen di laman Facebook.
Kedua-dua anggota dari Balai Polis Jalan Patani itu dilihat membantu seorang nenek yang sedang membawa barangan berat serta seorang atuk yang berjalan menggunakan tongkat.
Pengguna laman Faecbook turut tidak ketinggalan memuji tindakan dua anggota yang dikenali dengan nama Kotandabani dan Hafizi.
Seorang guru, Nor Rafidah Abdul Razak, 30, berkata, tindakan anggota polis itu patut dipuji kerana tidak semua mampu melakukan kebajikan ‘terpijak’ seperti itu.
“Ia datang tiba-tiba, seperti rezeki terpijak, tetapi ini adalah ibarat pahala terpijak untuk mereka. Jika difikirkan tidak semua mampu melakukan kebaikan seperti polis berkenaan, jika kita berada di situ, belum tentu kita akan menolong nenek berkenaan.
“Sedangkan hakikatnya, tugas anggota polis lebih berat, dia perlu memantau keadaan persekitaran, namun sebaliknya dia dilihat masih mampu meluangkan masa sekejap tetapi begitu bermakna,” katanya.
Gambar berkenaan dimuat naik melalui laman Facebook IPD Timur Laut dan kemudiannya dikongsi pengguna lain.
Sementara itu, Raudiah Yunos, 34, berkata, bukan sahaja nenek berkenaan, bapanya turut pernah dibantu anggota polis Pulau Pinang bulan lalu.
Menurutnya, ia berlaku ketika kereta yang dipandu bapanya kehabisan bateri di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.
“Pada masa itu, anggota peronda datang dan mereka membantu bapa saya tanpa banyak soal.
“Ia memang mendatangkan kesan kepada orang seperti kami kerana jasa mereka akan dikenang sampai bila-bila, ia nampak biasa tetapi memberi kesan yang mendalam,” katanya.