MESKIPUN lebih dikenali sebagai penyanyi pop, namun bagi Asmidar atau nama sebenarnya, Norhasmidar Ahmad, 30, mengakui jiwa dan kecintaannya terhadap irama tradisional kekal menebal dalam hati.
Menurut juara program Vokal Bukan Sekadar Rupa ini, dia cuba memartabatkan irama tersebut setiap kali melakukan persembahan pentas.
“Ya, diakui ramai yang mengenali saya menerusi lagu berentak balada atau pun pop. Masakan tidak, album pertama saya yang dipasarkan pada 2013 lalu pun merupakan album berentak sedemikian.
"Namun jujurnya, minat saya adalah terhadap lagu-lagu tradisional kerana selain mendapat didikan serta pendedahan awal daripada ibu saya khususnya, ia juga merupakan satu amanah atau tanggungjawab untuk saya sebagai generasi muda untuk terus memartabatkan irama tersebut daripada terus dilupakan,” katanya.
Asmidar kini mempunyai rancangan besar untuk merakamkan sekurang-kurangnya sebuah album tradisional penuh pada masa akan datang.
“Mungkin impian saya itu dilihat terlalu besar, namun saya optimis agar suatu hari nanti impian saya akan menjadi kenyataan,” terangnya lagi.
Ditanya mengenai siapakah individu yang banyak mempengaruhi minatnya terhadap irama jati ini secara mendalam, Asmidar yang berasal dari Kuala Lumpur ini memberitahu ibunya, Norasmah Binti Ibrahim, 56, banyak memberi inspirasi dan tunjuk ajar kepadanya dalam mengalunkan muzik tradisional.
“Ibu dan bapa saya merupakan penyanyi tradisional yang aktif di Kuala Lumpur. Sejak berusia lapan tahun lagi, saya sudah dilatih untuk mendendangkan lagu tradisional.
"Malah saya juga pernah menyanyi di stesen RTM pada waktu itu. Jadi pendedahan yang saya dapat itu ibarat sudah sebati dengan diri saya. Namun ia tidak bererti saya menidakkan genre lagu lain," katanya.
Katanya lagi, apabila memikirkan soal irama tersebut adalah rentak muzik jati negara, jadi rasanya tidak ada salah sekiranya dia terus kekal menjadikan lagu-lagu yang berentak sedemikian sebagai antara lagu pilihannya setiap kali membuat persembahan.
"Itulah antara inisiatif saya untuk terus menjulang irama ini.
"Pun begitu, saya masih terbuka untuk merakamkan lagu Balada atau Pop selepas ini,” jelas Asmidar yang terpaksa menangguhkan sesi rakaman single terbarunya atas faktor kekangan masa dirinya dan komposer.