Thursday, September 29, 2016

Anuar Zain Akui Terbawa Emosi Selepas Berlakon MV 'Andainya Takdir'



Anuar Zain
PETALING JAYA: Penyanyi terkenal Anuar Zain mengakui dia terbawa-bawa emosi sedih beberapa hari selepas terlibat melakonkan watak seorang suami dalam muzik video lagu baharunya berjudul Andainya Takdir.

Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Anuar Zain, 46,berkata, perkara tersebut merupakan salah satu faktor dia menolak meneruskan kerjaya lakonan selepas terlibat dalam filem Soal Hati dan Bintang Hati sekitar tahun 2000.

"Saya rasa teruk ketika berlakon, saya sedar bukan seorang pelakon sehingga ketika berlakon muzik video ini pun saya terbawa-bawa emosi sehingga beberapa hari.
"Saya memang tidak boleh berlakon kerana lakonan itu makan jiwa saya," ujarnya.
Anuar Zain tidak mahu lakonan jejas kerjaya nyanyian.
Anuar ditemui pada pelancaran album berjudul Anuar Zain yang diadakan di ibu kota baru-baru ini.

Muzik video Andainya Takdir dilancarkan secara rasmi menerusi laman youtube pada Khamis lalu.

Sementara itu, Anuar Zain berkata, dia juga tidak meneruskan kerjaya lakonan berikutan mahu memberi fokus terhadap bidang nyanyian.

"Saya seorang penyanyi dan lebih bagus kalau saya fokus kepada bidang nyanyian sahaja. Saya tidak mahu fokus saya lari kerana berlakon," ujarnya.

Sementara itu, bercerita tentang lakonanya dalam muzik video arahan Amor Rizan itu mengambil masa empat hari untuk disiapkan.

Katanya, dia juga berterima kasih kepada pelakon-pelakon yang terlibat seperti Sharifah Sakinah dan Puteri Balqis yang menjayakan muzik video itu dengan baik.

"Saya gembira sepanjang penggambaran tersebut berlangsung dan Alhamdulillah pelakon-pelakon lain turut membantu saya untuk menghayati watak itu dengan baik.

"Walaupun mereka tiada babak tapi mereka tetap ada di lokasi penggambaran untuk memberi semangat kepada saya," ujarnya.

Menurut Anuar, muzik video yang berkisarkan tentang kecurangan isteri itu bakal mempunyai sambungan pada lagu seterusnya.

"Kisah itu belum berakhir dan ia akan bersambung pada muzik video untuk lagu yang lain pula. Ia adalah salah satu strategi promosi kami. Saya harap peminat bersabar menunggunya," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: