PENGLIBATANNYA dalam gelanggang seni suara tempatan lebih 14 tahun menjadi titik tolak buat penyanyi Datin Alyah untuk mulai fokus terhadap dunia perniagaan.
Ujar penyanyi lagu Kisah Hati ini, sudah tiba masanya untuk mencari peluang lain yang dirasakan sesuai dengan statusnya dan usianya kini.
“Rasanya tempoh 14 tahun dalam dunia seni sudah cukup panjang bagi saya. Jadi, inilah momen yang dirasakan paling sesuai untuk saya kembali mengembangkan perniagaan yang ada.
"Ya, sebelum ini saya ada keluarkan koleksi baju Muslimah dan juga turban atas label Gaya Alyah. Namun atas sebab tenaga kerja, ia terpaksa dihentikan buat sementara waktu sehinggalah sekarang saya kembali dengan penjenamaan dan koleksi tudung yang lebih terkini,"  katanya.
Jelasnya, apa yang menarik, untuk koleksi tudung, Alyah berkolaborasi bersama pereka Syafieq Ayman dalam soal rekaan dan corak.
“Alhamdulillah, respons yang kami terima terhadap Gaya Alyah ini di luar jangkaan. Jadi sambutan yang diterima itu memberi saya inspirasi dan semangat untuk terus memberikan komitmen terbaik terhadap perniagaan ini.
"Terima kasih buat sema yang menyokong,” terang Alyah.
Pada masa sama, penyanyi yang berasal dari Gelang Patah, Johor ini turut terlibat sebagai rakan niaga untuk Lerve Cosmetics bersama dua rakan lain.
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Alyah turut memberitahu, skop perniagaan mereka juga tidak hanya tertumpu pada lipstik semata-mata, tetapi mempunyai perancangan untuk mengeluarkan item solekan yang lainnya juga.
“Insya-ALLAH, sebelum hujung tahun ini, kami merancang untuk mengeluarkan maskara dan haruman sendiri di bawah label Lerve Cosmetics.
"Ya, kami begitu teruja dan tidak sabar untuk menantikan hasilnya. Doakan ia menjalan lancar seperti yang diharap-harapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Alyah tetap sibuk mempromosikan single terkininya, Engkau Milikku yang dilancarkan pada penghujung Mei lalu.