MUNGKIN ramai tidak perasan, Ain Sufia atau juga dikenali sebagai Ain Kumpulan Awok sebelum ini dikenali sebagai seorang pelawak merupakan seorang pelakon pentas. Minat mendalam dalam bidang lakonan juga membuatkan anak kelahiran Negeri Sembilan ini tekad memilih bidang seni sebagai kerjaya utamanya.
“Saya bermula sebagai seorang pelakon pentas. Saya cenderung kepada bidang lakonan semenjak zaman belajar lagi. Saya cuba menimba pengalaman menerusi peluang yang diperoleh. Namun ia bukanlah sesuatu yang mudah. Apatah lagi banyak bakat baru yang turut mencari peluang menempatkan diri dalam industri.
“Namun siapa sangka penglibatan saya menerusi program Bintang Mencari Bintang (2013) membuka lembaran baru dalam hidup saya. Bukan sebagai pelakon, tetapi pelawak. Saya sendiri tidak menyedari dalam diri saya ini ada bakat seorang pelawak. Bersama seorang lagi anak didik Raja Azura dalam program tersebut iaitu Filzah Azmi, kami digabungkan menjadi kumpulan Awok. Di sinilah saya mula dikenali sebagai seorang pelawak,” imbas graduan Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Teater) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam ini.
Begitu pun, kata Ain, minatnya dalam bidang lakonan tidak pernah terpadam dan sentiasa mencari peluang untuk memenuhi tawaran berlakon.
“Saya tidak menafikan peminat lebih kenal saya sebagai pelawak berbanding pelakon. Malah orang mula sedar kewujudan saya dalam industri pun kerana bidang komedi. Namun itu tidak bererti saya harus meninggalkan lakonan yang menjadi minat saya sebelum  ini. Alhamdulillah, tawaran berlakon tidak putus datang dan memberi peluang kepada saya untuk mencuba pelbagai watak.
“Saya mahu memberi tumpuan kepada kedua-duanya kerana ia saling berkaitan. Banyak benda baru yang telah saya belajar dan secara tidak langsung juga memberi pengalaman yang berbeza. Jika terlibat dengan program lawak, orang akan melihat saya dengan karakter yang sentiasa ceria. Namun dalam lakonan, saya banyak ditawarkan dengan watak-watak serius dan bertentangan sama sekali dengan karakter saya di pentas komedi,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran telefilem Sri Bulan untuk Slot Tribute P Ramlee.
Tidak sekadar itu, pelakon yang pernah membintangi teater Nyiur Gading Puncak Mahligai ini juga merupakan seorang penyampai radio online, SkyLive. Kepetahannya berkata-kata membuatkan penampilannya di radio diterima baik pendengar.
“Saya hanya mencuba-cuba, tidak sangka pula menerima respons yang begitu positif dari pendengar. Semua ini menjadi motivasi terbaik untuk saya memperbaiki segala kekurangan diri dan terus melangkah ke depan.
“Biarpun terpaksa berdepan dengan rutin harian yang agak sibuk, saya sebaiknya cuba menjaga disiplin diri agar segala kerja yang dilakukan itu berjalan dengan lancar. Malah dalam masa yang sama juga tidak menyusahkan pihak lain yang bekerjasama dengan saya. Bagi saya, tidak harus ada kompromi tentang disiplin jika kita mahu berjaya,” ujarnya bersungguh.
Meskipun banyak terlibat dengan tawaran kerja secara solo, Ain menegaskan tidak pernah mengetepikan komitmennya dengan kumpulan Awok.
“Kami saling menyokong dan memahami semenjak mula terlibat dalam industri ini sehinggalah sekarang. Bila ada tawaran yang memerlukan kami tampil berdua, kami akan melakukannya sama-sama dan begitulah sebaliknya. Saya dan Filzah juga sering membuat video sketsa komedi dikenali sebagai Geng Very Style yang boleh ditonton di laman Youtube. Video-video ini kami hasilkan khas buat peminat yang sentiasa menyokong kumpulan Awok,” katanya.