KUALA TERENGGANU – Jalur Gemilang sepanjang 60 meter berjaya disiapkan dalam tempoh hampir lima jam, hasil kerjasama daripada 40 kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, termasuk 25 orang pelajarnya.
Jalur Gemilang yang dihasilkan di atas kain putih sepanjang 60 meter itu adalah sumbangan sebuah institusi perbankan Islam, Koperasi Co-Opbank Persatuan Malaysia Berhad cawangan Terengganu dalam usaha memupuk semangat cintakan negara Malaysia dalam kalangan pelajar.
Ketua Pemasaran dan Pembiayaan Koperasinya, Ahmad Ikram Zakaria berkata, mereka memulakan aktiviti berkenaan sejak 9.30 pagi dan berakhir jam 2 petang tanpa rasa penat, sebaliknya teruja untuk melihat hasilnya.
Menurut Ahmad Ikram, program bersama komuniti yang dilakukan di sekolah itu adalah langkah permulaan bagi memperkenalkan institusi perbankan yang baharu bertapak di Terengganu pada Januari lalu kepada masyarakat.
Ahmad Ikram berkata, setakat ini hampir 1,000 pelanggan telah berurusan dengan institusi berkenaan termasuk dalam perkhidmatan pinjaman peribadi, pelaburan dan Ar Rahnu.
Sementara itu, Pengetua SMK Sultan Ahmad, Salim Ab Ghani berkata, pihak sekolah menyambut baik usaha koperasi itu untuk menjadi rakan kongsi di dalam acara Pelancaran Kempen Jalur Gemilang peringkat sekolah.