Tuesday, August 30, 2016

'Tuah Belum Menyebelahi Saya' - Firman



Firman kini sedang giat mempromosikan single terbaharunya berjudul Bohong.
SHAH ALAM: Penyanyi Firman mengakui tuah masih belum memihak kepadanya untuk mendapat tempat dihati peminat walaupun bergelar juara program Akademi Fantasia (AF) dua tahun lalu.
Firman atau nama sebenarnya Mhd Firman Bansir, 27, berkata, dia tidak pernah berasa kecewa kerana popularitinya dilihat semakin tenggelam kerana menganggap ia perkara biasa dalam perjalanan karier seseorang artis.

"Perasaan kecewa kerana tidak popular tidak pernah wujud dalam diri saya kerana yakin rezeki masih belum berpihak kepada saya.

"Ia juga lumrah dalam industri seni dan tuah belum menyebelahi saya untuk lebih dikenali dan mendapat perhatian.

"Apa yang paling penting saya tidak berputus asa tambahan pula saya masih baru dalam bidang ini dan banyak lagi perkara yang belum saya pelajari," katanya.

Firman ditemui pada sesi rakaman takbir bersempena Hari Raya Aidiladha di IDCC Shah Alam di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, Firman berkata, dia menaruh keyakinan kehadirannya pada akhirnya nanti akan mendapat tempat selagi dia berusaha.

Firman juga bersyukur kerana undangan nyanyian masih banyak diberikan kepadanya walaupun namanya tidak segah penyanyi lain.

Malah katanya, selain di Semenanjung Malaysia kebanyakan tawaran itu adalah datang dar negeri kelahirannya iaitu Sabah.

"Alhamdulillah undangan nyanyian masih ada tetapi cuma jarang dapat tawaran muncul dalam program di televisyen.

"Saya pun bukan jenis memilih kerana bagi saya itu adalah rezeki saya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Firman berkata, dia kini sedang giat mempromosikan single ketiganya iaitu Bohong hasil ciptaan Omar K dan Ezra Kong.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: