TIRAI Akademi Fantasia 2016 (AF2016) sudah bermula dan 14 peserta mempamerkan bakat masing-masing menerusi konsert minggu pertama yang berlangsung di Auditorium MBSA Shah Alam, malam kelmarin.
Menerusi konsert itu juga teka-teki mengenai siapakah gerangan Pengetua AF2016 juga sudah terlerai apabila Astro sebulat suara memilih Datuk Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh atau lebih dikenali sebagai Datuk Shake penyanyi Malaysia yang mencipta nama di Perancis untuk menerajui barisan tenaga pengajar AF2016.
Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad berkata, Astro sebulat suara memilih Shake kerana melihat pencapaian penyanyi tersebut bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara.
“Sebelum Yuna, Shila Amzah mengorak langkah ke luar negara, beliau terlebih dahulu sudah mencipta nama di luar negara dan kami melihat pengalaman yang beliau ada boleh membantu para peserta musim ini,” katanya.
Mengulas mengenai persembahan pelajar musim ini, Raqim mengakui masih banyak kelemahan yang kelihatan, namun dia percaya setiap minggu pasti akan ada perubahan yang akan berlaku.
“Tidak dapat dinafikan masih ada kekurangan tetapi inilah Akademi Fantasia dan saya percaya kita akan dapat lihat perkembangan positif pada semua pelajar setiap minggu yang akan mendatang,” katanya yang masih melihat Akademi Fantasia sebagai program yang masih relevan dan mempunyai golongan pengikut tersendiri.
Edisi AF2016 tahun ini menyaksikan dua pelajar wanita bukan Melayu antara 14 peserta yang terpilih untuk berentap iaitu Kareshma Martin John Patrick, 18, dan Jasper James Supayah, 23.
Manakala, lima peserta wanita lain ialah Nur Hafizah Longkip, 23, Nurfarrah Izzatie Johari, 19, Nurul Rahils Rashun, 20, Isyariana Che Azmi, 26 dan Siti Aishah Abdul Razak, 20.
Sementara tujuh lelaki yang dipilih menyertai AF2016 pula terdiri daripada Mohamad Ammal Shafiq,21, Amir Syazwan Masdi, 20, Muhammad Ikram Kamaruzzaman, 26, Mohamad Afzarul Dzarif Mohd Mazle, 24, Azarul Rais Mansor, 22, Halmy Hamizan, 23, dan Mohamad Fara Aidid Ali Dad Khan, 23.
Barisan tenaga pengajar pada tahun ini pula terdiri daripada Edry Abdul Halim (Pengarah Seni Muzik), Linda Jasmine (Guru Tarian & Koreografi) manakala Shahrolbahri bertindak sebagai Guru Vokal.
Tahun ini juga menyaksikan dua wajah baharu menyertai keluarga AF 2016 iaitu Mas Idayu yang bakal memikul tanggungjawab sebagai Guru Persembahan Vokal dan Ellie Suriaty Omar (Guru Seni Persembahan).
Rutin harian pelajar di akademi dapat ditonton menerusi Diari AF pada setiap Isnin sehingga Jumaat pada pukul 6.30 petang.
Konsert mingguan turut disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Turut diumumkan pada konsert minggu pertama adalah pengkritik tetap yang terdiri daripada Datuk Ramli MS, Datuk AC Mizal.
Teruja curah ilmu - Datuk Shake  
Dalam pada itu, Pengetua AF2016, Datuk Shake melahirkan rasa teruja kerana dipilih untuk menjadi pengetua bagi Akademi Fantasia musim ke-13 ini.
Ujar penyanyi berusia 66 tahun ini, dia mendapat tawaran ini sebelum Ramadan lalu dan isterinya menggalakkan beliau untuk menyertai program ini.
“Apabila dapat tahu, saya tanya pendapat isteri saya dan dia kata mengapa tidak untuk mencuba. Saya bersedia untuk berkongsi ilmu dan berharap semua pelajar bersedia menerima ilmu.
“Selepas melihat persembahan mereka, sejujurnya banyak benda yang perlu saya buat lebih-lebih lagi berkaitan pernafasan mereka.
“Tetapi rata-rata mereka sangat bagus cuma ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Saya harap mereka akan bertambah baik pada konsert yang akan datang,” katanya yang akan tinggal di Malaysia sehingga program ini selesai.
Tambah Shake, pada awalnya agak sukar untuk beliau merahsiakan mengenai tawaran ini, lebih-lebih lagi pada keluarga di Malaysia.
“Seperti yang saya terangkan ketika siaran langsung tadi, tidak ada sesiapa yang tahu saya terpilih sebagai pengetua dan saya sendiri terpaksa menipu keluarga saya apabila mereka bertanya mengapa saya pulang ke sini?
“Jadi sebab itu saya sukar sedikit memberi pendapat mengenai pelajar kerana saya belum bertemu lagi dengan mereka. Jadi selepas ini barulah saya boleh memberi komen mengenai persembahan mereka,” jelasnya.
Alif Satar teruja
Dalam konsert itu juga, turut diumumkan pengacara bersama Zizak Razak, iaitu Alif Satar yang akan turut mengendalikan AF2016 selama lapan minggu.
Menerusi hashtag #AF2016, ramai yang memuji kredibiliti Alif sebagai seorang pengacara.
Berkongsi mengenai pemilihannya sebagai keluarga AF2016, Alif berkata tawaran dari pihak Astro datang kira-kira awal tahun ini dan dia sendiri tidak tahu siapakah gerangan pengacara bersamanya tahun ini.
Alif atau nama sebenarnya Muhammad Alif Mohd Satar berkata, pemilihannya sebagai pengacara AF2016 sebagai satu mimpi yang menjadi kenyataan.
“Ada yang kata, ‘ala Alif ini pentas AF je’. Tetapi ini adalah Akademi Fantasia dan semua orang tahu mengenai program ini dan secara tidak langsung orang akan memberi perhatian kepada pengendali rancangan itu juga.
“AF2016 merupakan pentas yang sangat besar. Apabila ditawarkan untuk jadi pengacara, perasaan takut itu memang tak boleh dinafikan. Sampai saya masih tertanya-tanya layakkah saya jadi pengacara AF?
“Saya memang rasa sangat sebegini dan sudah lama saya tak rasa seperti ini sebelum mengacara.  Tapi Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar untuk konsert pertama dan saya akan perbaiki lagi kekurangan saya untuk minggu seterusnya,” jelasnya.