BERMULA
 dengan suka-suka hanya membela dua rusa, membawa kepada perniagaan yang lumayan buat empat rakan niaga di Sungai Rambai, di sini, yang kini membela lebih 200 haiwan tersebut.
Pemilik Sure Jade, Adam Mohamed, 48, Jamal Subi, 49, Mohd Firdaus Abdullah, 47, Shamsul Anuar Md Ali, 38,  sudah mengusahakan projek ternakan rusa timorensis yang berpangkalan di Muar, Johor pada pertengahan 2003.
Adam berkata, setahun selepas itu, ia bertambah menjadi 18 dan kini mempunyai lebih 200 rusa.
“Saya lihat lima tahun kebelakangan ini permintaan yang kami terima sangat tinggi sehingga kami tidak mempunyai cukup bekalan.
“Nak bela rusa sangat mudah dan modal sangat rendah, namun hasilnya lumayan. Jadi kerana itu, kami fokus untuk mengkomersialkan ternakan rusa yang masih baru di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, menyedari potensi itu, mereka bersepakat menjadikan ternakan itu sebagai pilihan untuk dikomersialkan hingga tercetus idea untuk melakukan sistem pawah.
“Sistem pawah ialah sistem yang membahagi dua hasil yang diperoleh antara tuan punya dengan orang yang mengusahakannya.
“Sebab itu, kami membuka sampel projek tersebut di Sungai Rambai supaya sesiapa yang berminat boleh melihat sendiri bagaimana sistem pawah ini dijalankan,” katanya.
Kurang risiko penyakit, kos projek rendah
Menurut Jamal, kebaikan dan kelebihan daging rusa menarik minat orang ramai apatah lagi ia rendah lemak, tinggi protein dan zat besi serta kaya dengan Omega 3.
“Rusa jenis timorensis lebih mudah diternak kerana kurang risiko penyakit dan mati, tiada kos rawatan, manakala kos harian sangat rendah untuk makanan dan menjaga hanya 80 sen sehari.
“Rusa juga haiwan ternakan yang tidak memilih rumput sebagai makanannya. Selain itu, hampas soya dan tahi minyak sawit akan diberikan sebagai makanan tambahan mereka sebanyak dua kali sehari,” katanya.
Jamal bersama rakan kongsi yang lain juga berharap lebih ramai yang berminat untuk melibatkan diri dalam penternakan rusa, supaya dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan dan juga luar negara.
Permintaan melebihi bekalan
“Sebenarnya, kita banyak mendapat permintaan dari negara luar, tapi kami tidak cukup bekalan, jika kita dapat bekerjasama membiakkan lagi baka rusa ini, maka kita akan mampu meningkatkan ekonomi sara diri  penternak sekali gus memajukan ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Shamsul juga menyatakan kebimbangan dengan penjualan daging rusa tiruan yang semakin berleluasa, di mana ia boleh menjejaskan pendapatan penternak rusa.
“Banyak kes di dada akhbar tentang jualan daging tiruan yang kebanyakannya berlaku di Sabah. Waspada, kerana daging yang dikatakan rusa kemungkinan hanya daging kerbau muda.
“Harga yang dijual pula begitu rendah sedangkan harga pasaran untuk daging rusa sekurang-kurangnya RM60 hingga RM100 bagi satu kilogram,” katanya
.