SHAH ALAM – Bersempena dengan Festival Ittihad Malaysia 2016, satu slot program dinamakan Solidariti Malaysia Demi Bumi Syam berlangsung di Dataran Masjid al-Ikhlas Seksyen 13, Shah Alam, semalam.
Slot solidariti ini dirasmikan Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Abdul Aziz Abdul Bakar dan disertai tetamu jemputan seperti Yatt Hamzah dan kumpulan nasyid Hijjaz.
Antara pengisian di dalam slot ini termasuklah bacaan puisi dan sajak serta ceramah ringkas.
Festival itu dianjurkan Maahad Tahfiz Sains Fatimah Az-Zahrah dengan kerjasama Mapim selain penaja utama iaitu pengeluar produk susu unta Camelus dan 1Malaysia for Youth (1M4U).
Guru besar maahad berkenaan, Nazratun Nafizah Akhtar Husin, bumi Syam sememangnya mempunyai sejarah penting bagi umat Islam.
Lokasi itu adalah salah satu bumi yang penuh barakah di samping terdapat beberapa peninggalan kesan sejarah besar para anbia’ sejak ribuan tahun dulu.
“Objektif solidariti ini ialah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai khususnya umat Islam tentang isu semasa di Syria (Syam) di mana sejak sekian lama telah berlaku penindasan terhadap Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang didalangi ekstremis Syiah pimpinan Bashar Al-Asad.
“Selain itu diharap program ini dapat cetuskan fenomena luar biasa ke arah kesepaduan umat Islam khususnya di Malaysia,”  katanya.
Dalam pada itu, festival ini juga dianjurkan bertujuan meraih dana bagi pembinaan bangunan pendidikan bagi maahad tahfiz berkenaan.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan, boleh menderma atau wakaf di akaun rasmi maahad terbabit menerusi Maybank (562405607179) atau terus berhubung di talian 03-61774315 / 016-2154014 / 016-2154015.