MUAR - Siapa sangka, wanita ini suatu ketika dahulu pernah menjadi tentera kini beralih kerjaya kepada usahawan.
Bekas tentera, Leftenan Noor Zaima Mohd Shukur, 38, berkata, dia tidak pernah menyangka akan menceburi bidang perniagaan setelah bersara daripada perkhidmatan.
Menceritakan semula penglibatannya dalam bidang ketenteraan, bekas Pegawai Istiadat dan Protokol Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Kementerian Pertahanan (Kementah), Putrajaya ini akui mencintai kerjayanya sebagai parajurit.
Menurut Noor Zaima, selama 12 tahun berkhidmat sebagai tentera, dia  terpaksa bersara apabila perkhidmatan wanita dalam ketenteraan ditamatkan secara berperingkat.
Ibu tunggal kepada dua anak ini berkata, sejak bersara daripada perkhidmatan TLDM, banyak cabaran yang dihadapinya sebelum dia berjaya bergelar usahawan jus buah-buahan atas nama Juyce Juz yang baru sebulan ditubuhkan.
“Malah saya pernah hidup sebagai gelandangan selama seminggu kerana ketiadaan wang selain gagal membayar sewa rumah,” katanya.
Bagaimanapun nasibnya berubah setelah bertemu Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kulai pada 2014 apabila pelbagai bantuan dan sokongan yang diberikan pihak berkenaan.