KUANTAN - Sepasang suami isteri memerlukan sekurang-kurangnya RM120,000 bagi membiayai pembedahan anak lelakinya berusia setahun dua bulan yang menghidap jantung berlubang di Institut Jantung Negara (IJN) dalam tempoh segera.
Norlida Othman, 34, berkata, dia hanya mempunyai tempoh kurang daripada tiga minggu untuk pembedahan  segera bagi menampal lubang sebesar duit 20 sen pada jantung kiri dan kanan anaknya, Qarl Muhammad Ziqri Abdul Hafiz dan pemasangan stent (belon) juga diperlukan untuk merawat saluran pernafasan tersumbat.
Menurutnya, doktor yang merawat anaknya itu menjelaskan, anaknya itu perlu segera menjalani pembedahan tersebut kerana keadaannya semakin serius dan tanda  kebiruan pada mulut, tangan dan kaki juga sudah kelihatan.
"Saya risau duit masih tak cukup. Sekarang duit yang ada sekitar RM1,000 hingga RM2,000. Doktor cakap pembedahan ini dah tak boleh tangguh lagi.
"Ada duit ke tak ada, pembedahan tetap akan dilakukan. Buat masa sekarang ini saya tunggu panggilan dari IJN bagi dapatkan tarikh dan dijangka pembedahan ini  akan dibuat sebelum tiba Hari Raya Haji," katanya ketika ditemui di rumahnya di Indera Mahkota di sini, hari ini.
Norlida menjelaskan, masalah jantung yang dialami Qarl Muhammad mula dikesan ketika dia berusia 42 hari.
Ujarnya, pada ketika itu, kelihatan biru pada tangan, kaki dan mulut Qarl Muhammad selain mengalami batuk teruk.
"Bila tengok tanda itu, saya bawak anak ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan pihak hospital mengesahkan anak saya mengalami masalah jantung berlubang serta terus dihantar ke IJN untuk pemeriksaan lanjut.
"Bila ke IJN Qarl Muhammad  terpaksa menjalani pembedahan pada bulan awal Oktober 2015 bagi membuka saluran pernafasan, manakala pembedahan kedua dilakukan pada 2 Ogos lalu bagisebelum memasang stent dilakukan dalam masa terdekat.
"Untuk dua-dua pembedahan tersebut saya telah membelanjakan hampir RM40,000 demi memastikan anak saya kembali sihat," katanya.
Ujarnya, meskipun wang masih belum mencukupi, dia terpaksa meneruskan pembedahan tersebut demi memastikan anak ketiganya itu tidak terus menderita sakit.
Norlida hanya bekerja sebagai pembantu ditadbir di pejabat Tanah di daerah ini mempunyai pendapatan bersih sekitar RM900 manakala suami, Abdul Hafiz Mohd Asri, 24, bekerja sebagai buruh dan mempunyai pendapatan sekitar RM850 sebulan tidak mampu mengumpul wang sebanyak itu.
Katanya, selain Qarl Muhammad Ziqri, mereka juga turut menanggung  dua lagi anaknya Muhammad Idham Shahril Hakim, 15, dan Nurul Emilia Natasha Shahril Hakim, 13, yang masih bersekolah.
"Banyak komitmen yang kami berdua terpaksa pikul. Kos bagi perbelanjaan Qarl Muhammad  mencecah RM1,000 sebulan termasuk susu formula khas.
"Selain itu kos ubatan-ubatan dan kos ulang alik ke IJN tiga bulan sekali turut menelan belanja lebih RM700 setiap kali pergi ke Kuala Lumpur. Saya pasrah dengan ujian ini," katanya.
Dalam pada itu, Nolida memberitahu Jabatan Kebajikan Masyarakat  (JKM) ada menyalurkan bantuan bulanan RM300 bagi membantu anaknya itu.
Orang ramai yang boleh menyalurkan bantuan menerusi  akuan Bank Rakyat milik Norlida, 221131136782 atau akuan Maybank 156012393383 atas nama Abdul Hafiz.