PONTIAN - Tindakan tiga remaja lelaki cuba mencuri wang tabung Masjid Jamek Bandar Pontian, di sini membawa padah apabila mereka bukan  dicekup imam masjid tersebut malah gambar mereka diviralkan di laman sosial Facebook.
Ketua Polis Daerah Pontian, Suprintendan Zakaria Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira jam 11 malam, kelmarin itu disedari imam masjid dan dua lagi rakannya yang secara kebetulan berada  di kawasan terbabit sebelum melihat keadaan ketiga-ketiga suspek mencurigakan.
‎Katanya, ketiga-tiga suspek berusia 15 hingga 17 tahun itu, memecah masuk ke dalam masjid melalui tingkap di sebelah kanan.
"Ketika dicekup oleh imam masjid,ketiga-tiga suspek sedang mengorek duit tabung masjid.
"Ketiga-tiga suspek kemudiannya ditangkap oleh dua lagi rakan imam yang berada disitu, sebelum diserahkan kepada polis,"katanya.
Hasil pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek itu, polis telah menjumpai wang tunai sebanyak RM106, sebatang lidi yang bergam di hujung, sebilah pisau lipat berukuran 17cm dan sebatang tukul besi.
‎"Ketiga-ketiga suspek kini ditahan reman selama 7 hari bagi siasatan dijalankan dibawah seksyen 457 kanun keseksaan ,"katanya.