Friday, August 26, 2016

Erra Fazira Tidak Ambil Serius Anak Gagal Kuasai BM



Erra Fazira menunjukkan jenama minyak wangi keluarannya. 
KUALA LUMPUR: Pelakon Erra Fazira tidak mengambil serius apabila dia dituduh gagal mendidik anak perempuannya, Engku Aleesya apabila kanak-kanak itu dilihat gagal menguasai bahasa Malaysia dengan baik.
Erra, 42, sebaliknya berkata, sebagai ibu dia tahu tanggungjawabnya dalam mendidik Aleesya termasuk memastikan anaknya itu mampu menguasai bahasa ibundanya itu dengan baik.

"Dia masih kanak-kanak dan ini bukan soal bahasa apa yang dia kuasai tetapi sebagai ibu saya kena mendidiknya agar semua perkara seimbang.

"Secara dasarnya dia memang lebih selesa berbahasa Inggeris tetapi sekarang saya sering bercakap dalam bahasa Malaysia dengannya.

"Ia satu proses dalam mendidiknya dan kritikan orang terhadap saya atau pun anak saya tidak menjadi kudis," katanya.
Erra Fazira tidak mahu mengambil serius terhadap kata-kata negatif dilemparkan kepadanya.
Erra ditemui pada majlis pelancaran wangian Forget Me Not dan Loveable bawah jenamanya di Hotel Royale Chulan di sini, Selasa.

Dua minyak wangi tersebut adalah kerjasama di antara Erra dan Hot Perfumes dan Air Fresheners Industries Sdn Bhd.

Terdahulu, Erra memuat naik video bersama anaknya di Instagram dan menyakat kanak-kanak berusia tujuh tahun itu berbahasa Malaysia.

Ia mendapat reaksi negatif daripada netizen yang menganggap Erra perlu lebih proaktif dalam mengajar anaknya menguasai bahasa ibunda.
Dalam pada itu, Erra berkata, dia tidak pernah berhasrat untuk membentuk anaknya  menjadi seorang kanak-kanak urban seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya kata Erra, sebagai ibu dia mahu melihat Aleesya membesar dengan jati diri seorang Melayu yang kuat.
Erra Fazira dan anaknya Engku Aleesya. Foto dari Instagram Erra Fazira.
"Jika ada kesempatan pulang ke kampung saya selalu dedahkan dia dengan pelbagai perkara yang biasa saya lakukan semasa kecil.
"Tiada istilah nak jadikan diaurban kerana ia tidak benar," ulasnya.

Malah kata Erra, dia berasa pelik apabila ada pihak mengatakan Aleesya tidak pandai bergaul dan hanya mendekati individu tertentu sahaja.

"Dia sebenarnya seorang yang pemalu dan tidak mudah rapat dengan orang baharu dikenalinya.

"Bukan dia sahaja malah ramai lagi kanak-kanak seusianya yang lambat mesra dengan orang tidak dikenali," ujarnya lagi.

Dalam perkembangan lain, Erra berkata, dia tidak kisah apabila dilihat lambat mengeluarkan wangian jenamanya sendiri sementelah artis-artis lain terlebih dahulu mengeluarkan produk sama.

Kata Erra, dia tidak melihat ia sebagai kekurangan sebaliknya yakin dengan produk dihasilkan.

"Saya memang seorang yang suka dengan minyak wangi sejak dahulu lagi dan telah menjadi impian saya menghasilkan wangian sendiri.

"Alhamdulillah saya mendapat peluang itu walaupun mungkin ada yang kata saya terlambat kerana ramai selebriti sudah ada rangkaian tersendiri namun itu bukan halangan.

"Saya dapat tawaran ini tahun lalu dan proses pemilihan bau, pemasaran dan sebagainya mengambil masa setahun.

"Ia satu masa yang panjang tetapi biar lambat asalkan produk yang dihasilkan bermutu tinggi dan berkualiti," jelasnya.

Tambah Erra, dia sudah berhasrat untuk mengeluarkan rangkaian wangiannya sejak beberapa tahun lalu namun ketika itu tiada peluang berbuat demikian.
Erra teruja dengan pelancaran dua wangian dibawah jenamanya.
Bercakap lanjut mengenai Love Me Not dan Loveable, Erra berkata, ia mempunyai campuran nota bahagian seperti Amber, Litchi dan Rose termasuk Tuberose, Pink Pepper dan White Musk.

Ia diimport dari United Kingdom selain nota bau dicipta oleh pembikin wangian bertaraf dunia.

"Untuk permulaan kami menghasilkan 20,000 botol bagi setiap jenis wangian dan ia boleh didapati secara dalam talian atau ejen berdaftar.

"Kami juga membuka peluang kepada sesiapa yang ingin menjadi ejen kerana ia tidak dijual di mana-mana kedai," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: