KABUL - AFGHANISTAN. Lumpuh separuh badan tidak menghalang Robaba Mohammadi, 16, untuk melakukan kerja harian menggunakan mulut.
Malah, disebabkan 'kedegilan' beliau untuk mengisi masa lapang, Robaba mula belajar memegang pensil menggunakan mulut untuk melukis ketika berusia 14 tahun.
Kini Robaba bukan sahaja mampu menghasilkan potret wajah yang teliti, malah lukisan-lukisan rumit yang lain.
Menurut laporan Washington Post, keluarga Robaba menyedari kekurangan Robaba ketika beliau berusia tiga tahun.
Pada usia tersebut, Robaba juga mula kehilangan fungsi menggerakkan anggota kedua belah tangan dan kakinya.
"Sebelum saya mula belajar melukis, saya langsung tidak boleh diharap sementara adik dan kakak pergi ke sekolah dan mendapat pelbagai ilmu," kata Robaba.
Kecacatan Robaba menyebabkan beliau sukar bergerak dan terpaksa dibantu oleh ibu bapa dan adik-beradiknya.
"Adik-beradik belajar menulis dan belajar, tetapi saya, saya langsung tidak mampu menulis nama saya sendiri.
"Saya betul-betul tertekan dan saya mula menangis dua atau tiga kali sehari," jelas Robaba.
Selepas belajar melukis dan berjaya menajamkan kebolehannya, Robaba kini berhasrat untuk mengadakan pameran seni.
"Saya bercita-cita untuk mengadakan pameran seni di Muzium Aga Khan yang merupakan muzium terbesar di Kanada.
"Saya memohon bantuan orang ramai untuk membantu saya mencapai cita-cita saya," kata Robaba penuh harapan.
Adik Robaba, Shakila, 13 mengatakan kakaknya berjaya mencapai 'sesuatu yang mustahil dicapai'.
"Kami fikir dia akan gagal (melukis menggunakan mulut). Sekarang kami sendiri berharap Robaba akan mencapai cita-citanya," kata Shakila.