REMBAU - Penduduk sekitar kampung ini yang sedang menjaring ikan terkejut dengan kemunculan seekor anak buaya sepanjang kira-kira satu meter di Sungai Penajis di Kampung Tanjung Penajis Bandar, di sini, kelmarin.
Anak buaya berkenaan bagaimanapun berjaya ditangkap penduduk kampung menggunakan jaring ikan.
Seorang penduduk yang enggan nama disiarkan berkata,  penemuan reptilia itu baru pertama kali berlaku sejak dia menetap di kampung berkenaan lebih 30 tahun.
"Sebelum ni ada juga dengar cerita penduduk ada buaya di sungai ni, tapi saya tak pernah nampak pun. Sejak kecil lagi saya selalu mandi di sungai ini, malah sehingga kini saya masih lagi memancing di sungai ini.
"Mungkin sekarang ni musim panas, air pun agak cetek, anak buaya berkenaan kelihatan di tepi sungai. Jadi, ada penduduk cuba tangkap anak buaya berkenaan menggunakan jaring dan mereka berjaya,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, dia tidak mengetahui sama ada anak buaya itu dilepaskan semula atau tidak ke sungai yang sememangnya merupakan habitat buaya seperti di Sungai Timun.
"Apa pun tindakan berani mereka ini sekurang-kurangnya berjaya mengurangkan kebimbangan penduduk mengenai penemuan anak buaya di sungai kampung ini," katanya.
Terdahulu, penemuan anak buaya kali pertama di Sungai Penajis itu disebarkan secara meluas melalui laman sosial Facebook  dan grup WhatsApp.