SUNGAI MANIK - Seorang penduduk dari Kampung Parit 19B, Sungai Lampam, di sini, terkejut melihat pokok pisangnya yang hampir mati setelah ditebang Ramadan lalu, tiba-tiba mengeluarkan buah dan jantung di tengah-tengahnya.
Shahrudin Nasir, 53, berkata, kejadian aneh itu disedari isterinya, Azimah Ibrahim, 36, ketika mereka membersihkan laman belakang rumah emaknya pada jam 6.30 petang, kelmarin.
“Ketika itu saya sedang kumpul kelapa, tiba-tiba isteri saya jerit dan panggil saya untuk maklumkan kejadian aneh tersebut,” katanya.
Menurutnya, kejadian seumpama itu pertama kali berlaku dalam hidupnya.
“Semalam (kelmarin) pagi isteri saya lihat awan berombak dan bergulung seperti tsunami di pekan Langkap, kemudian petang pula jumpa pokok pisang yang hampir mati, berbuah,” katanya.
Tambahnya, dia tidak memaklumkan perkara itu kepada sesiapa melainkan ahli keluarganya.
“Saya ingin lihat apa akan terjadi seterusnya, sama ada pokok ini akan terus mengeluarkan buah pisang sehingga masak atau tidak,” katanya.