JERUJU
 tumbuh di hutan paya laut dan dianggap pokok musuh serta tumbuh di antara pokok bakau. Ia bermanfaat dan mempunyai pelbagai khasiat untuk dijadikan penawar untuk pelbagai jenis penyakit kronik.
Kebanyakan penduduk kampung menggunakan jeruju untuk mengatasi masalah bisul, demam panas dan sebagainya. Daun dan batang jeruju berduri.
Bagaimanapun, sejak beberapa tahun lalu, jeruju dikomersialkan menjadi minuman antaranya teh jeruju yang amat terkenal di Kuala Gula, Perak.
Pengasas Mangrove Secrets, Nor Lida Ahmad Hashim berkata, idea menginovasikan jeruju tercetus apabila melihat tumbuhan tersebut meliar di kawasan paya bakau.
“Setelah membaca kebaikan keseluruhan jeruju iaitu akar, daun, batang, buah dan bunganya, saya dan suami Ahmad Nizam Ngah mengambil keputusan untuk mengkomersialkan jeruju. Di Perak, jeruju dikomersialkan  menjadi minuman seperti Teh Jeruju, kami ingin mencubanya,” katanya.
Katanya, dia dan suami menghantar sampel dan membuat kajian di Islamic Manufacturing Practice (IMP), Perak untuk dianalisis dan menjalani ujian keracunan memastikan kelebihan dan kandungan jeruju untuk dimakan.
“Kami banyak mendengar kebaikan jeruju yang dikatakan sesuai untuk membantu menyembuhkan demam dan sebagainya. Setelah keputusan dikeluarkan makmal kajian yang bertempat di Pulau Pinang, menyatakan jeruju tidak mengandungi racun dan baik untuk kesihatan tubuh manusia,” katanya.
Pada Januari 2016, Nor Lida dan suaminya, mengambil pokok jeruju dan dikeringkan untuk dihantar ke Bio Accent, Melaka untuk ditukar ke bentuk abstrak dan menghasilkan Teh Jeruju.
“Kami mahu membuat jeruju kopi. Untuk mendapatkan jeruju, kami mengupah penduduk kampung ke muara sungai dan mengambil daun jeruju.
“Untuk mendapatkan jeruju bukanlah satu perkara yang mudah kerana daunnya berduri. Aspek keselamatan sangat penting kerana daunnya mempunyai duri tajam,” katanya.
Jelas Nor Lida, mereka menggunakan jeruju spesies laut yang tumbuh secara berkelompok dan keseluruhan pokok boleh digunakan untuk menghasilkan kopi.
Tambahnya, Kopi Jeruju dihasilkan dengan campuran herba laut dan darat yang memerlukan jeruju, rozel, koko dan mahkota dewa perlu dihantar untuk di ekstrak.
"Penghasilan ekstrak yang mengambil masa selama dua minggu menjadi kekangan kepada kami untuk mengeluarkan Kopi Jeruju dalam skala besar.
“Setelah mendapatkan kira-kira 100 kilogram jeruju, kami akan menghantar untuk dijadikan abstrak dan memastikan ia tidak dicampurkan dengan bahan kimia dan halal,” katanya.
100 peratus semula jadi
Nor Lida berkata, kopi jeruju mula berada di pasaran pada Mac lalu dan mendapat sambutan yang memberangsangkan.
“Pada mulanya, pelanggan kami takut untuk merasai minuman tersebut  kerana bimbang ia akan pahit dan daun jeruju bukanlah popular seperti herba lain yang terkenal di pasaran.
“Alhamdulillah, pelanggan setia kami memaklumkan bahawa mereka merasai kebaikan kopi jeruju dan berterima kasih kerana kami menggunakan 100 peratus tumbuhan semula jadi,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kekangan yang dihadapi adalah mereka tidak mampu memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan sedia ada dan baharu.
Katanya, maklum balas yang diterima memberikan semangat kepada kami untuk meneruskan perniagaan ini.
“Pelanggan utama kami adalah penghidap diabetes dan gout. Lebih 15,000 sachet berjaya dijual. Kami hanya mengeluarkan produk Kopi Jeruju dalam kuantiti yang terhad kerana kami tidak mencampurkan dengan bahan kimia.
"Kami mengeluarkan Kopi Jeruju dalam kuantiti yang terhad dan berperingkat. Kopi Jeruju dihasilkan tanpa pemanis tiruan, bahan pewarna dan perisa tiruan,” katanya.
Nor Lida berkata,  setiap kali mengeluarkan produk, Mangroove Secrets  perlu melalui beberapa fasa iaitu jeruju perlu dihantar ke IMP, dan hasilnya pula dihantar ke Bio Accent, Melaka yang mengambil masa sebulan untuk dijadikan abstrak dan seterusnya ke kilang.
Nor Lida berkata, dia tidak pernah menyesal mengeluarkan modal sebanyak RM100,000 untuk menghasilkan produk sendiri kerana selain membantu menyembuhkan penyakit pelanggannya, dia juga mampu memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Tambahnya, jeruju bukanlah seperti tumbuhan lain yang mudah ditanam.
Sasaran jual 7,000 kotak
Setakat ini, Kopi Jeruju boleh didapati dalam pasaran Perak, Kuala Lumpur, Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kedah.
“Kami hanya memasarkan produk ini kepada kawan-kawan terdekat dan saudara mara sahaja. Setakat ini, lebih 400 kotak telah terjual dan kami menawarkan dengan harga yang mampu milik sejak Mac lalu.
“Kebanyakan pelanggan juga akan membeli dalam kuantiti yang banyak kerana produk Kopi Jeruju adalah terhad. Selain berkunjung ke kedai, kami juga menjual secara atas talian,” katanya.
Katanya, mereka tidak mempunyai ejen dan sekiranya orang ramai mahu memiliki kopi jeruju, bolehlah menghubungi mereka berdua.
“Kami menyasarkan 7,000 kotak dan 10,000 berbentuk papan akan terjual menjelang akhir tahun ini dipacu oleh tempahan yang tinggi yang mana kebanyakan pelanggan akan membelinya kembali setelah merasainya. Kami juga meluaskan promosi di media sosial dan cetak serta pasar raya,” katanya.
Nor Lida berkata, Mangrove Secrets juga mencari pengedar dan mereka yang berminat bolehlah menghubungi Nor Lida dan suaminya.
Mereka yang ingin kopi jeruju boleh berkunjung terus ke kedai Mangroove Secrets yang terletak di No. 19A Jalan Meru Perdana 1, Chemor, Perak atau menghubungi di talian 017-5557246 dan 017-5991820.
Selain, menjual Kopi Jeruju, Mangrove Secrets juga juga mempunyai produk lain iaitu Teh Jeruju dan Acanthus Beauty Soap berasaskan jeruju yang boleh diperolehi di Taiping, Perak.
Mangrove Secrets juga merancang untuk mengeluarkan tiga produk baharu berasaskan jeruju antaranya kapsul untuk mengubati sakit pinggang dan krim sapu bagi luka akibat penyakit barah
.