RAWANG - Meskipun belum siap sepenuhnya, Surau Al-Kausar di Blok 1B Park Avenue Bandar Tasik Puteri di sini, sudah digunakan orang ramai sejak 1 Syawal lalu.
Pengerusinya, Zaini Hasbullah berkata, surau dua tingkat setengah itu berbaki siap 30 peratus dan memerlukan RM190,000 lagi untuk fasa terakhir pembinaan.
Menurutnya, bahagian solat jemaah lelaki dan wanita telah digunakan untuk ruangan solat selepas siap dengan kemudahan asasnya.
“Siap hanya yang asas saja, bagi ruangan wanita di tingkat atas kita pasang pagar besi buat sementara waktu sebelum ada bajet untuk menggantikannya dengan bahan yang lebih sesuai.
“Jubin di lantai dan tangga belum dipasang, surau belum dicat serta bahagian wuduk juga belum disiapkan,” katanya.
Selain itu, ruangan bawah tanah yang bakal dijadikan kelas dan dewan serba guna juga belum  siap.
“Projek ini kita jalankan sejak 2014 secara berfasa mengikut bajet yang pihak surau dapat melalui sumbangan orang ramai, kerajaan negeri, zakat dan badan korporat.
“Sejak mula masuk taman di sini 2005, sebuah unit rumah dijadikan surau selepas pemaju tidak menyediakan kemudahan itu sebelum kita mohon tanah untuk pembinaannya,” katanya.
Dia berkata, surau baharu itu dijangka mampu memuatkan sehingga 400 jemaah dalam satu masa.
“Kita telah belanjakan kira-kira RM800,000 untuk projek ini dan memerlukan hanya RM190,000 lagi untuk fasa terakhir.
“Kami alu-alukan sumbangan orang ramai untuk melengkapkan projek ini. Mereka yang ingin menyumbang boleh menyalurkannya melalui akaun CIMB Surau Al-Kausar 8602183212 atau AmBank 0882022006114,” katanya.