Sunday, July 31, 2016

Pokemon Go Boleh Bantu Mereka Yang Hadapi Gangguan Psikologi - Pakar



Pokemon Go. 
KUALA LUMPUR: Pokemon Go, permainan realiti telefon pintar, yang secara beransur-ansur menawan dunia maya, boleh membantu mereka yang mengalami masalah gangguan psikologi, menurut seorang ahli psikologi terkemuka.
"Ia memberi beberapa faedah untuk semua jenis masalah psikologi seperti kebimbangan dan kemurungan," kata Dr Edward Chan, perunding psikologi utama di Pusat Psikologi Antarabangsa, di sini.
"Sebagai contoh, mereka yang mengalami kemurungan dapat melupakan pemikiran negatif apabila bermain permainan ini, yang secara tidak langsung mampu bangkit dan meneroka dunia luar," katanya.
Selain kemurungan, katanya, Pokemon Go turut membantu mereka yang mengalami masalah serius seperti fobia dan kebimbangan sosial kerana ia adalah satu motivasi yang sangat baik bagi golongan ini untuk bangkit semula.
"Mereka akan mula berinteraksi dengan pemain lain dalam permainan ini di luar daripada hanya berkurung di rumah. Pada masa sama, ia akan meningkatkan keyakinan diri dan kemampuan bersosial," katanya.
Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak yang tiada bantahan untuk permainan itu diperkenalkan di negara ini, Dr Chan memuji langkah tersebut.
"Ini menunjukkan kita terbuka dengan perkara baharu, selain tanda negara ini sanggup menerima perubahan dengan menyesuaikan diri bersama perkembangan teknologi dan perubahan sosial," katanya.
Baru-baru ini, Salleh berkata, Malaysia tidak menentang atau mengehadkan aplikasi permainan mudah alih percuma yang akan diperkenalkan di negara ini, walaupun sesetengah negara telah berbuat demikian.
Pokemon Go, yang dibangunkan Niantic Incorporation, Amerika Syarikat telah mencatat sejarah baharu permainan realiti menerusi aplikasi telefon pintar. 
Walaupun aplikasi permainan itu akan diterima di negara ini, Dr Chan yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam bidang psikologi, menasihatkan bakal pemainnya agar tidak terlalu taksub sehingga mengalih tumpuan daripada perkara yang harus diutamakan.
"Setakat ini, tiada bukti yang menunjukkan Pokemon Go adalah sesuatu yang negatif, namun jika sehingga seseorang itu terganggu, mengabaikan hubungan atau pelajaran, ia pasti bukan sesuatu yang baik," jelasnya.
Pokemon Go adalah permainan konvensional 'sembunyi dan cari' yang diangkat ke tahap baharu yang memerlukan pemainnya mencari dan melawan karektor maya, berdasar lokasi dunia sebenar yang dikesan menerusi telefon pintar.
Aplikasi permainan percuma itu dikeluarkan secara rasmi pada 6 Julai lepas di Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat. Ketika ini ia sudah sampai di 30 negara.
Sehingga kini belum ada tarikh tetap untuk ia diperkenalkan di Malaysia, tetapi aplikasi permainan itu mungkin disediakan untuk pengguna Android dan iOS mulai September ini. 

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: