KOTA BHARU - Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dipilih sebagai hospital pertama di Pantai Timur memiliki perpustakaan dalam wad bagi memberi manfaat kepada hampir 100 pesakit kanak-kanak yang ditempatkan di wad pediatrik.

Projek pembinaan perpustakaan terbabit merupakan hasil kerjasama antara Pertubuhan Juruukur Di Raja Malaysia (RISM) dengan kerjasama Persatuan Penghibur Kanak-Kanak Buih Merah KL dan Selangor (Red Bubbles).

Presiden RISM, Datuk Sr.K. Sri Kandan berkata, peranan dan fungsi pusat sumber di hospital ini diharap dapat memperkenalkan budaya membaca dan menggalakkan pesakit kanak-kanak mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah dan menambah pengetahuan.

“Kita bagi sumbangan dan pihak Red Bubbles yang mengubah suai tempat dengan penyediaan rak-rak buku, meja, buku dan pelbagai keperluan dalam pusat sumber.

“Diharap dengan usaha ini dapat mewujudkan suasana ceria kepada pesakit kanak-kanak serta menjadi peneman kepada mereka untuk memperuntukkan masa yang terluang untuk menyertai aktiviti di pusat sumber tersebut,” katanya kepada media di sini.

Terdahulu, beliau turut merasmikan program terbabit yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Kanan Pengurusan HUSM, Wan Mohd Sayuti Wan Ismail.

“Setakat ini kita masih dalam perbincangan dan pelaksanaannya akan dijalankan selepas mendapat lokasi yang sesuai mungkin juga di Kelantan dan masih belum menetapkan lokasinya.

Projek pembinaan perpustakaan dalam hospital ini telah diwujudkan sejak 2012 lagi yang bermula di Perlis dan kemudiannya di Kuala Lumpur pada tahun 2014.