TAIPING - Sejak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) mengambil alih pengurusan dan pentadbiran Bukit Larut, pelbagai aspek pembangunan kawasan peranginan itu sedang giat dilaksanakan.
Yang Dipertuanya, Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, sejak Januari hingga Jun lalu, seramai 8, 030 pengunjung ke Bukit Larut.
Menurutnya, sebanyak RM71,417 berjaya dikutip hasil operasi jip dan RM9,880 hasil daripada penginapan pengunjung di banglow yang disediakan.
“Walaupun kita masih tidak dapat membuat perbandingan, namun angka tersebut diharap mampu menjadi permulaan yang positif ke arah membangunkan Bukit Larut agar menjadi destinasi pelancongan setiap pengunjung yang ke Taiping,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan MPT, di sini, semalam.
Abd Rahim berkata, tidak lama lagi kafe di Bukit Larut juga akan mula beroperasi.
“Sehingga kini pihak MPT sudah pun mengeluarkan iklan dan kita harap dengan pembukaan kafe itu ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Larut selepas ini,” katanya.
Beliau berkata, satu lagi aspek penting yang sentiasa diberikan perhatian ialah melibatkan kenderaan pacuan empat roda yang menjadi pengangkutan utama di sini.
“Setakat ini, kita mempunyai lapan jip, namun tidak semua digunakan secara serentak.
“Bagaimanapun, berikutan faktor usia yang sudah begitu lama mengakibatkan ia tidak boleh beroperasi untuk tempoh masa lama.
“Jip-jip ini perlu sentiasa dibaiki dan masih tidak boleh digunakan secara konsisten,” katanya.
Tambah Abd Rahim, bagi mengatasi masalah tersebut, pihak MPT sedang berusaha untuk mendapatkan peruntukan daripada agensi berkaitan.
“Selain itu, kita juga bakal menjalin kerjasama dengan Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) bagi membangunkan destinasi pelancongan Bukit Larut,” katanya.
Pihaknya juga sedang dalam proses untuk mewujudkan satu kumpulan khas yang akan ditugaskan bagi mengurus dan merancang pembangunan Bukit Larut.
“Difahamkan 32 individu yang bakal dilantik ini akan memberikan tumpuan khusus kepada setiap aspek pengurusan serta perancangan Bukit Larut.
“Iklan juga telah dikeluarkan dan proses temuduga akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya.