JOHOR BAHRU – Tentera Darat Diraja Malaysia dan Tentera Darat Australia terus mengukuhkan hubungan dua hala melalui Exercise Sapper Bersama 2016 di Kem Pusat Latihan tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram, dekat sini, yang bermula 10 Jun dan berakhir semalam.
Majlis Penutup disempurnakan oleh, Timbalan Ketua Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Nawawi, manakala Tentera  Darat Australia diwakili Komander 7 Brigednya Brigadier Anthony Rawlins.
Ia adalah salah satu program antara kedua-dua negara di bawah Malaysia-Australia Joint Defence Programme (MAJDP) melibatkan seramai 15 pegawai dan 194 anggota lain-lain pangkat.
Dalam majlis berkenaan, Pengarah Eksais kedua-dua negara iaitu Kolonel Md Sidek Abas dan Leftenan Kolonel Till Brook turut menyampaikan penerangan mengenai Exercise Sapper Bersama 2016 dalam versi bahasa Melayu dan Inggeris.
Md Sidek berkata, Eksesais Sapper 2016 berorientasikan teknikal antara Rejimen Askar Jurutera Diraja dan Combat Engineer Regiment yang memberi tumpuan pada kerja-kerja kejuruteraan awam ke atas Fasiliti Ketenteraan Malaysia dalam situasi sebenar.
“Ilmu dan kepakaran dalam teknologi baharu dapat ditimbulkan terutamanya perbandingan peralatan kerja dan keberkesanannya boleh diambil perhatian  sebagai menambah baik inventori peralatan dalam pasukan masing-masing.
“Hasil kerja peninggalan eksesais ini telah dapat meningkatkan kemudahan lapang sasar di Kem Pulada. Sebanyak 52 skop kerja telah ditetapkan dalam dua fasa, dari jumlah itu, 34 skop dapat disiapkan manakala selebihnya dilaksanakan dalam fasa kedua,”katanya.