KAHERAH - MESIR. Pihak berkuasa ulama tertinggi di Mesir menolak keputusan baharu kerajaan untuk menyeragamkan khutbah solat Jumaat.
Majlis Ulama Kanan al-Azhar memberi amaran keputusan kerajaan itu akhirnya akan memberi kesan kepada pemikiran pendakwah selain membekukan wacana agama.
"Imam akan mendapati dirinya tidak lagi dapat berbincang, berdebat dan bertindak balas kepada idea pelampau, selain gagal memberi amaran kepada orang ramai mengenai kumpulan itu," menurut kenyataan.
Pengkritik berkata, inisiatif khutbah secara seragam yang dilancarkan Kementerian Agama Mesir adalah satu percubaan baharu untuk mengetatkan kawalan kerajaan ke atas perbincangan agama.
Sementara itu, menurut Menteri Agama Mokhtar Gomaa, langkah tersebut bertujuan untuk memerangi ekstremisme dan matlamat berkenaan hanya boleh dicapai dengan menambah baik potensi ulama.
"Imam perlu latihan dan pengetahuan yang serius supaya mereka boleh berdepan dengan idea radikal melalui pengetahuan serta fikiran yang tepat," katanya.