NAMA pelakon kacak Hollywood, Jared Leto sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Tidak hanya berbekalkan rupa paras semata-mata, sebaliknya pelakon ini juga membuktikan dirinya mempunyai bakat  besar di dalam bidang lakonan.

Sekiranya anda pernah menonton filem Fight Club yang turut dilakonkan oleh Edward Norton dan Brad Pitt, anda mungkin tidak lupa dengan watak Angel Face, seorang peninju bermuka jambu yang dilakonkan oleh Leto.

Mengimbas latar belakang pelakon ini, Leto atau nama sebenarnya Jared Joseph Leto, dilahirkan pada 26 Disember 1971 di Louisana, Amerika Syarikat (AS).

Semasa zaman remaja, dia membesar dengan ramai penyanyi, pemuzik, pengarah dan pelukis.

Pengalaman yang dimiliki telah menyebabkan Leto  membuat keputusan untuk menjadi seorang artis apabila dia meningkat dewasa.

Bagi merealisasikan impiannya, Leto telah memasuki School of Visual Arts di bandar New York dengan mengambil jurusan dalam bidang pembuatan filem.

Leto mula berlakon pada 1994 dengan mengambil watak sampingan dalam drama My So-Called Life. Bakatnya semakin menyerlah apabila melakonkan watak pelari Olimpik AS, Steve Prefontaine dalam filem Prefontaine.

Dalam filem itu, dia berjumpa dengan ahli keluarga pelari tersebut untuk mendapat gambaran jelas perwatakan Prefontaine yang sebenar.

Selain itu, dia telah menjalani latihan larian selama beberapa bulan bagi menjiwai karakter seorang pelari pecut. Lakonannya dalam filem itu mendapat pujian daripada pengkritik filem.

Pada 2013, Leto membintangi filem Dallas Buyers Club dengan melakonkan watak Rayon, seorang lelaki transgender yang menghidap AIDS. Dalam filem tersebut, Leto terpaksa menurunkan berat badannya sebanyak 13 kilogram.

Selain itu, dia diminta untuk mencukurkan keningnya serta berlatih berjalan dengan memakai kasut bertumit.

Komitmennya tidak sia-sia apabila pihak Oscar mengangkat Leto sebagai pemenang anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Akademi pada 2014.

Cabaran The Joker

Terbaharu, Leto akan muncul dalam filem Suicide Squad, dengan menjadi The Joker.

Filem ini mengisahkan sekumpulan individu luar biasa yang dipilih kerajaan AS untuk menyekat The Joker daripada melakukan kejahatan.

Dalam satu temu bual di majalah Rolling Stone, Leto mengakui, untuk menghidupkan watak Joker, dia menonton pelbagai video jenayah melalui laman video, Youtube.

“Video yang saya tonton memang ganas. Saya tidak mahu menontonnya, namun demi Joker, saya tengok juga.

“Walau bagaimanapun, saya tetap menghormati watak Joker yang dilakonkan oleh mendiang Heather Ledger,” katanya.