PENYANYI dan pelakon veteran Datuk Dahlan Zainuddin,75, dimasukkan semula ke Hospital Kuala Lumpur, minggu lalu akibat angin ahmar dan jangkitan kuman di paru-paru.
Perkara itu dinyatakan isterinya, Datin Effa Rizan.
“Keadaan kesihatan beliau agak baik sejak dibenarkan keluar hospital minggu lalu.
“Beliau juga nampak berselera untuk makan dan boleh bergerak sedikit, tetapi itu hanya dua hari pertama,” katanya kepada Zass ketika ditemui di HKL.
Katanya, masuk hari ketiga, Dahlan tidak mahu makan dan kerap muntah.
“Tidak makan dan minum, tetapi muntah dengan banyak. Saya tiada pilihan, selepas solat Asar, saya minta maaf padanya kerana terpaksa menghubungi ambulan kerana keadaannya semakin kritikal.
“Dalam ambulan pun keadaan sama berlaku, beliau muntah dengan banyak. Sampai di hospital, doktor terpaksa beri ubat pelali untuk mengawal keadaan,” jelasnya.
“Keadaan beliau kritikal, tapi stabil namun terpaksa ditempatkan di unit kawalan rapi (ICU) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.
Pada Sabtu lalu, doktor mengesahkan ada jangkitan kuman pada paru-parunya.
“Kerana itu beliau ditidurkan sehingga kini.
“Semalam doktor membuka tiub dan membiarkan beliau bernafas sendiri, tetapi beliau agak agresif, jadi doktor terpaksa tidurkan semula,” katanya.
Dahlan yang pernah popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan pernah membuat pembedahan pintasan jantung sekitar 11 tahun lalu.
“Keadaan beliau sebelum ini baik-baik sahaja. Walaupun ada diabetes dan darah tinggi, tetapi beliau tidak pernah lupa makan ubat," katanya.