JOHOR BAHRU – Juara World Boxing Council (WBC) Asia 2016, Muhammad Farkhan Mohd Haron, 28, mendedikasikan kemenangan buat seluruh Bangsa Johor selain menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Dia yang menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi kejuaraan itu sebelum ini bergerak sebagai amatur sejak berumur 13 tahun mengakui, tanpa tajaan Tunku Ismail impiannya untuk bergelar Juara WBC Asia tidak mungkin menjadi kenyataan.
Muhammad Farkhan berkata, selepas mengambil keputusan meninggalkan dunia tinju amatur, dia memerlukan dana untuk bertanding ke peringkat profesional.
“Saya terkilan selepas tidak mendapat bantuan daripada persekutuan namun saya tidak patah semangat dan bertemu TMJ untuk menyampaikan hasrat saya.
“Paling saya terharu apabila TMJ memaklumkan bantuan diberikan adalah ikhlas sebab beliau sayangkan rakyat Johor. Kata-kata itu menyuntik lagi semangat saya untuk menjadi petinju profesional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Restoran Banafe Village, di sini, semalam. Sebelum itu, Muhammad Farkhan turut membuat kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di Kota Iskandar.
Muhammad Farkhan juga bertuah apabila Tunku Ismail bersetuju memberi tajaan RM4 juta untuk menjalani latihan selama dua tahun di Mayweather Boxing Club, Amerika Syarikat.
Katanya, kelab berpusat di Las Vegas itu adalah tempat juara dunia tinju dilahirkan. Bagaimanapun dia mengakui masih belum bersedia bertarung di peringkat dunia dalam tempoh dua tahun ini.
“Saya sepatutnya berlepas ke Las Vegas bersama isteri dan ibu Januari depan bagaimanapun terdapat masalah teknikal apabila visa saya tidak diluluskan dan sedang dalam proses membuat permohonan baharu,” katanya.
Muhammad Farkhan memaklumkan beliau perlu menempuh satu perlawanan bertemu salah seorang daripada 'top 15' petinju Asia dalam tempoh enam bulan bagi mengekalkan kejuaraan berkenaan.