PASANGAN selebriti popular, Akim Ahmad dan Stacy Anam telah dipilih untuk menjadi duta produk minuman dan makanan, Yeo's.

Naib Presiden Kumpulan Yeo Hiap Seng (Malaysia) Berhad (Yeo's), Ong Chay Seng berkata, mereka dipilih kerana pihaknya melihat pasangan mempelai ini sangat bahagia mengharungi kehidupan rumah tangga.

"Melihat kepada kriteria ini, kami merasakan suami isteri ini sangat sesuai untuk menjadi duta produk Yeo's," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran kempen Yeo's ' I Love Malaysia' di Hotel Empire, di sini, hari ini.

Kepada peminat yang ingin menemui pasangan ini, kata Chay Seng, Akim dan Stacy akan mengikuti siri jelajah kempen tersebut di enam lokasi di seluruh negara yang bermula esok hari.

Sementara itu, Stacy berkata, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Yeo's kerana sudi memilihnya sebagai duta baru syarikat tersebut.

"Saya mengenali produk Yeo's ini sejak kecil lagi dan suka minum air kotak yang dikeluarkan syarikat ini.

"Nutrisi dan khasiat yang ada dalam minum Yeo's amat sesuai kepada saya memandangkan saya dan Akim sangat sibuk dengan pelbagai tugasan setiap hari," katanya.