SANDAKAN - Penjaja air tebu di Bazar Ramadan Bandar Sandakan, dinasihat menggunakan sarung tangan ketika menyediakan tempahan minuman itu kepada pelanggan.
Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Hamsan Awang Supain berkata, nasihat itu dibuat berikutan bakteria Escherichia-Coli dikesan berpunca daripada air tebu yang dijual di bazar Ramadan berkenaan.
Penjaja juga diminta membersihkan tebu sebelum ia diproses menjadi air tebu, katanya di sini, hari ini.
Bakteria itu dikesan selepas Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan mengambil sampel beberapa makanan di bazar Ramadan itu dan menunjukkan keputusan positif.
Hamsan, bagaimanapun berkata keadaan adalah terkawal dengan pihak MPS dan Pejabat Kesihatan Kawasan Sandakan terus melakukan pemantauan termasuk di bazar Ramadan lain sekitar daerah tersebut.
Bazar Ramadan di Bandar Sandakan adalah antara bazar yang dibuka di daerah ini sempena bulan Ramadan, selain di Taman Fajar Batu 7 Jalan Airport dan Bandar Sibuga Batu 8.