SHAH ALAM - Sinar Harian bakal tampil dengan kelainan dalam penganjuran Peraduan Rakyat 1Malaysia (PR1M) bersempena dengan bulan Ramadan ini.
Jika sebelum ini para pembaca berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap hari, kali ini mereka dapat merebut peluang untuk mendapat wang tunai bernilai RM5,000 bagi 10 orang pemenang terpilih.
Editor Sinar Harian, Lailatun Khalilah Nasir berkata, pembaca setia Sinar Harian hanya perlu menjawab lima soalan terkumpul yang akan disiarkan mulai 1 hingga 5 Jun ini.
“Mulai 1 Jun, akhbar Sinar Harian menganjurkan PR1M Ramadan khas untuk para pembaca akhbar cetaknya dengan menawarkan hadiah RM5,000 untuk 10 orang pemenang terpilih,” katanya.
Dalam pada itu, Lailatun berkata, PR1M yang menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM1,000 setiap hari untuk seorang pemenang akan tetap berjalan seperti biasa.
Untuk keterangan lanjut, dapatkan Sinar Harian anda esok untuk menyertai peraduan ini.