KUALA TERENGGANU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu merampas 18 burung Ayam-Ayam (Ayaman) yang disyaki ditangkap sekumpulan lelaki, dalam satu serbuan di kawasan lapang di Kuala Ibai, di sini, Rabu lalu.
Pengarahnya, Mohd Hasdi Husin berkata, serbuan yang dilakukan kira-kira jam 1.45 pagi itu merupakan hasil maklumat serta aduan daripada orang awam yang mendakwa tidak tahan dengan bunyi bising.
Menurut Mohd Hasdi, bagaimanapun, dalam serbuan itu, sekumpulan lelaki terdiri antara empat hingga lima orang berjaya melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa dengan meninggalkan semua peralatan termasuk hasil tangkapan.
“Pemeriksaan lanjut menemui 18 burung Ayaman di dalam tiga jaring uncang dipercayai hasil tangkapan kumpulan lelaki itu serta lapan utas jaring bersama 10 pancang kayu.
“Turut ditemui dua set peralatan disyaki digunakan sebagai alat memanggil burung termasuk dua unit pemain radio, dua unit bateri dan dua unit pembesar suara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Jelas Mohd Hasdi, bagaimanapun, pihaknya yakin ramai yang menjalankan aktiviti menangkap burung Ayaman masih tidak tahu bahawa aktiviti itu satu kesalahan yang melanggar Akta Pemuliharaan Hidupan Liar Tahun 2010/Akta 716.