KUALA KURAU - Setibanya musim penanaman padi, penduduk kampung di sini khususnya kaki pancing pasti tidak akan melepaskan peluang memburu kumpulan ‘anak-anak’ ikan haruan bagi mendapatkan ibunya.
Pada waktu ini, terusan sawah dan parit padi mula dinaiki air, manakala ikan haruan mencari kawasan berumput rumpai sebagai tempat bertelur dan menetaskan anak-anak.
Pantau tali air
Di Kampung Parit Mat Ali di sini, seorang kaki pancing, Nazri Ismail 24, berkata, setiap kali bermula musim padi, dia akan memantau sepanjang tali air dan parit yang terdapat di kampungnya bagi mengesan kumpulan anak-anak haruan ini untuk menangkap ibunya.
Menurutnya, waktu sebegini mudah menangkap ikan haruan kerana sifatnya agresif dan akan menyambar apa sahaja benda yang jatuh ke dalam kumpulan anak-anaknya.
"Waktu menanam padi memudahkan kami menangkapnya, lebih-lebih lagi saiz ikan haruan ini lebih besar dan mampu mencecah dua kilogram seekor.
“Kalau bernasib baik, kita bukan sahaja mendapat ibu haruan, malah mungkin mendapat seekor lagi ‘penjaga’ anak-anak itu kerana kebiasaannya mereka hadir berpasangan.
“Cara menangkapnya juga sangat mudah hanya perlu ‘mengganggu’ dengan cara mencampakkan kail yang berumpan berulang kali dan hanya perlu menunggu penjaganya marah dan menyambar kail itu,” katanya.
Nazri berkata, umpan efektif menjerat ikan haruan adalah katak minyak yang boleh didapati di kawasan sawah padi.
“Tampak mudah tapi memerlukan kesabaran kerana ada di antara ibu haruan ini mengambil masa lama untuk memakan umpan.
“Paling didambakan kaki pancing adalah aksi tarik menarik sewaktu ikan haruan ini memakan umpan berikutan saiznya yang besar,” katanya.
Katanya, kebiasaannya haruan berjaya dikailnya dijadikan menu makanan utama keluarga selain turut menjualkan kepada penduduk kampung dengan harga RM10 hingga RM20 sekilogram.
Selain kenikmatan memancing ikan haruan, kaum hawa di kampung sekitar sini turut menjadikan tangkapan anak-anak ikan haruan dimasak menjadi menu kegemaran istimewa.
Hidangan istimewa anak haruan
Bagi Shamsiah Hashim, 50, dia yang berketurunan kaum etnik banjar didedahkan makanan berasaskan ramuan anak ikan haruan sejak kecil kecil.
Menurutnya, hidangan istimewa anak-anak ikan haruan hanya mampu diperoleh di kawasan kampung yang mempunyai terusan tali air dan sawah sahaja.
“Dari zaman sebelum merdeka lagi penduduk kampung khususnya kaum etnik banjar sering menjadikan makanan seperti ini sebagai menu utama keluarga.
“Anak-anak ikan ini hanya sesuai digoreng dengan campuran bawang dan lada selain dimasak dengan kaedah digelar ‘pais’ iaitu dibungkus dengan daun pisang lengkap campuran bawang dan cabai sebelum ianya dikukus,” katanya.
Shamsiah berkata, keenakan anak-anak ikan ini pasti menggamit nostalgia orang kampung terdahulu.
“Kini anak-anak ikan ini amat sukar diperoleh dan boleh dikatakan setahun cuma dua kali sahaja berikutan mengikut jadual musim penanaman padi.
“Keempat-empat anak saya masih sukakan masakan ini dan mereka pasti tidak melepaskan peluang untuk mencarinya setiap kali tiba musim penanaman padi,” katanya.