KAMPUNG GERDONG - Menyebut mengenai legenda Bukit Batu Kapal, masih ramai belum tahu mengenai legenda berkenaan kecuali orang lama atau penduduk setempat, apatah lagi belum dikomersialkan sebagai lokasi pelancongan.
Mungkin bagi orang luar, batu kapal itu hanya sekadar sebuah cerita rakyat yang sengaja direka orang terdahulu, namun bagi warga emas di sini, mereka tetap mempercayai kisah di sebalik kewujudan batu kapal terletak di satu kawasan bukit tersebut.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengakui mitos tersebut bukan sahaja mempunyai kebenaran, tetapi turut mempunyai kaitan rapat dengan Kuala Berang yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan pusat perdagangan, selain dikenali sebagai ‘foloan’.
Dibiar hingga jadi batu
Berkongsi cerita, Ibrahim Mamat atau lebih dikenali sebagai Pok Teh Him, 85, berkata, batu kapal sepanjang 21 meter dan setinggi 4.5 meter itu wujud sejak ratusan tahun dahulu, setelah sebuah kapal besar milik pedagang dari China terkandas pada beting pasir ketika melalui kawasan itu.
“Menurut cerita orang dulu, kapal dagang itu mempunyai urus niaga perdagangan di Kuala Berang, tetapi tersangkut pada beting pasir kerana di situ terdapat sungai besar seperti laut. Walaupun ada usaha menarik keluar kapal itu, namun tidak berjaya hingga terus tersadai di situ. Lama-kelamaan kapal itu bertukar menjadi batu sehinggalah dipanggil batu kapal setelah kawasan berkenaan menjadi bukit dan dipenuhi hutan.
“Cerita legenda ini terus diwarisi. Pakcik sendiri tahu mengenai batu kapal sejak zaman kanak-kanak lagi. Dek kerana cerita inilah, penduduk tidak lepaskan peluang untuk pergi melihat sendiri batu kapal yang diperkatakan itu. Pakcik pun macam penduduk lain, sanggup panjat bukit. Dah tujuh lapan kali naik ke sana, kali terakhir lebih kurang 10 tahun lepas. Sekarang pakcik tidak larat lagi,” katanya.
Menurut Pok Teh Him, lokasi berhampiran batu kapal itu turut mempunyai air terjun, sekali gus menarik minat penduduk kampung untuk naik.
Bagaimanapun katanya, terdapat juga sesetengah individu menjadikan batu kapal itu sebagai tempat aktiviti khurafat.
“Dulu orang luar sanggup datang dan meredah hutan untuk ke kawasan batu kapal, semata-mata untuk melakukan kegiatan negatif, namun sekarang tiada lagi. Pakcik juga gembira apabila dengar cerita Bukit Batu Kapal ini akan dimajukan sebagai destinasi pelancongan,” katanya.

Barang diambil ghaib
Bagi Tun Fatimah Tun Yahya, 60, batu kapal itu juga dikatakan mempunyai misteri tersendiri apabila peralatan yang diambil dari batu kapal itu (seperti lesung batu besar) yang ditinggalkan penduduk di suatu tempat, didapati hilang.
“Dikatakan ada beberapa penduduk mengambil barang dari dalam kapal itu. Disebabkan terlalu penat dalam perjalanan pulang, mereka tinggalkan di satu tempat untuk diambil semula keesokan hari, tapi peralatan itu telah ghaib. Batu kapal itu juga dikatakan menjadi tempat untuk orang kampung pinjam pinggan mangkuk, sebagaimana cerita legenda di Bukit Batu Puteri, namun ada yang tidak memulangkan kembali ke batu kapal itu.
“Daripada cerita orang dulu, makcik diberitahu keadaan batu kapal itu sekarang bukan bentuk sepenuhnya kerana sebahagian sudah pun terserpih. Bagaimanapun, kita masih boleh nampak dengan jelas rupa batu yang berbentuk kapal ini,” katanya.
Berpotensi jadi produk pelancongan
Sementara itu, dalam program eksplorasi mendaki ke Bukit Batu Kapal sebelum ini, Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat memaklumkan legenda itu punyai potensi besar dimajukan sebagai produk pelancongan.
Katanya, kajian menyeluruh perlu dilakukan berkaitan batu kapal yang terletak dalam kawasan hutan simpan di Kampung Gerdong itu, yang berketinggian kira-kira 150 meter dari paras laut dan terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Kuala Berang.