REMBAU - Dua penyamun ditahan kira-kira enam jam selepas menceroboh sebuah rumah, setelah mangsa berjaya menjejaki suspek menerusi aplikasi Find my Iphone di Kampung Rendah, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, tujuh sekeluarga terbabit baru sahaja masuk ke dalam bilik masing-masing untuk tidur dan hanya disedari oleh si ibu berusia 57 tahun sebaik bangun untuk menunaikan solat Subuh pada jam 5.30 pagi.
Menurut sumber, dipercayai penyamun itu telah memecah masuk melalui pintu utama rumah dan mencuri lima telefon bimbit pelbagai jenama termasuk Iphone, seutas jam tangan serta wang tunai berjumlah kira-kira RM1,500.
“Malah, penyamun berkenaan juga sempat makan di dapur rumah mangsa sebelum meninggalkan rumah dipercayai bagi tujuan pukau.  Susulan insiden itu, keluarga terbabit mengalami kerugian kira-kira RM15,000.
“Sebaik menyedari rumah mereka dimasuki penyamun, anak lelaki mangsa bertindak kesan lokasi telefon bimbitnya jenis Iphone dan mengajak beberapa rakannya untuk menjejaki penyamun berkenaan,” katanya, semalam.
Sumber berkata, hasil aplikasi itu berjaya membawa mangsa ke sebuah rumah tidak bernombor di kampung berdekatan dan mangsa segera menghubungi polis bagi meminta bantuan menangkap penyamun berkenaan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Ibrahim Sharif berkata, bertindak berdasarkan maklumat mangsa, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Rembau, anggota balai Chembong dan Rembau berjaya menangkap dua lelaki dalam sebuah rumah.
Menurutnya, dua lelaki berusia 38 dan 32 tahun itu adalah penganggur dan polis turut menemui dalam rumah berkenaan pelbagai jenis telefon bimbit, barangan kemas serta lain-lain lagi dipercayai merupakan barangan curi.
“Ketujuh-tujuh barangan yang hilang dari rumah keluarga terbabit turut berjaya dijumpai dalam rumah berkenaan.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek yang berusia 32 tahun dan berasal dari Seremban mempunyai empat rekod kesalahan lampau di mana dua daripadanya membabitkan kes pecah rumah, dan masing-masing satu bagi kesalahan menghalang penjawat awam serta berkaitan dadah,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek kini ditahan reman.