KUALA TERENGGANU - Konsep ‘Muroh Je Boh’ yang dibawa oleh seorang peniaga muda yang menjual chicken chop melalui atas talian dengan harga serendah RM2 sahaja, menarik perhatian orang ramai sehingga menerima ratusan tempahan setiap hari.
Malah, dengan harga RM2 tersebut, pembeli dapat menikmati hidangan satu set lengkap chicken chop yang sama sahaja seperti yang ditawarkan oleh penjual lain.
Bagi peniaga chicken chop ‘Muroh Je Boh’, Wan Nor Azuana Fatihah Wan Jamalludin, 24, ketika ditemui berkata, dia mula berniaga chicken chop bajet itu sebulan yang lalu dan sepanjang tempoh tersebut, hanya menerima tempahan di sekitar Kuala Terengganu sahaja.
“Peringkat awal ini, saya hanya fokuskan kepada komuniti Kuala Terengganu terlebih dahulu yang mana saya membuat penghantaran secara terus kepada pelanggan tanpa mengenakan sebarang caj penghantaran.
“Dalam sehari, saya menerima tempahan hampir 200 bungkus daripada jabatan kerajaan, pihak sekolah, orang perseorangan, malah pernah menerima tempahan daripada jabatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
“Dalam masa terdekat, kita akan pertimbangkan untuk menerima tempahan daripada komuniti daerah lain, namun bergantung kepada jarak lokasi bagi penghantaran chicken chop ini,” katanya.
Guna laman sosial lariskan jualan
Anak sulung daripada lima beradik ini berkata, minat untuk berniaga mendorongnya mencuba menjual chicken chop secara kecil-kecilan dahulu, sebelum mengambil keputusan untuk membuat hebahan menggunakan facebook.
“Sebelum ini, saya ada menjual set chicken chop kepada warga Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam dan dari situ, saya mula berfikir untuk luaskan lagi kepada komuniti luar.
“Jadi, saya mula melakukan hebahan dalam kumpulan di facebook seperti Gabungan Anak Terengganu dan Kuala Terengganu Residen bagi tujuan promosi, selain turut menggunakan WhatsApp.
“Maklum balas diterima amat memberangsangkan daripada warga media sosial sehingga menerima tempahan dalam kuantiti yang banyak satu-satu masa,” katanya.
Menurutnya, dia dibantu oleh ibu bapanya, Wan Jamalluddin Wan Abdullah, 51, dan Rohaya Muda, 46, bagi memudahkan urusan perniagaan chicken chop ini.
“Urusan penyediaan stok bahan mentah, dilakukan oleh bapa saya manakala sebarang persiapan menyediakan chicken chop ini dibantu oleh ibu.
“Kami melakukan persiapan seawal jam enam pagi sebelum proses penghantaran kepada pelanggan ke pelbagai lokasi di sekitar Kuala Terengganu bermula jam lapan pagi hingga 12 tengah hari bagi sesi penghantaran yang pertama manakala penghantaran bagi sesi kedua pula bermula jam lima petang ke atas.
“Kebiasaannya tempahan diambil sehari sebelum penghantaran dilakukan bagi memudahkan penyediaan stok bahan mentah,” katanya.
Wan Nor Azuana Fatihah berkata, walaupun kos bahan mentah semasa meningkat, namun beliau masih mampu memperoleh keuntungan hasil menjual chicken chop serendah RM2 tersebut.
“Walaupun murah, namun kami masih memperoleh keuntungan daripada jualan tersebut dan mampu menampung kos penghantaran yang dilakukan.
“Kami menjual dengan harga yang sangat murah ini dengan harapan orang ramai mampu menikmati hidangan chicken chop ini tanpa mengeluarkan belanja yang perlu dibayar seperti kebiasaannya.
“Namun, bermula 1 Jun ini, kami akan menaikkan harga kepada RM3 kerana ingin menambah hidangan coleslaw dalam kuantiti yang lebih banyak dan saiz ayam yang berganda, serta turut menawarkan air kocok bajet dengan harga yang sama juga,” katanya.
Mengenai perancangan masa hadapan, beliau berhasrat membuka cawangan tetap di lokasi yang terpilih di sekitar Kuala Terengganu ini.