Thursday, May 26, 2016

Buku Sang Kancil Menang Anugerah




KUALA LUMPUR: Buku 'Sang Kancil and The Snail', satu daripada 10 judul dalam siri 'The Classic Treasury of Sang Kancil Tales' terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), dipilih sebagai pemenang Hadiah Utama Samsung KidsTime Authors Award (SKTAA).

Karya yang diolah dan diceritakan semula oleh Rahimidin Zahari (Allahyarham) ini diterjemahkan oleh Linda Tan dan Peter Duke ke bahasa Inggeris, manakala ilustrasi dalam buku ini dihasilkan sepenuhnya oleh Jaafar Taib, pengilustrasi terkenal negara.

Pemenang membawa pulang wang tunai SGD$2,000 selain karya tersebut akan diterbitkan dalam bentuk aplikasi yang boleh didapati secara eksklusif menerusi platform mudah alih Samsung KidsTime selama 12 bulan.

Hadiah tersebut disampaikan dalam majlis bertempat di The Pod, Perpustakaan Negara Singapura hari ini berdasarkan penyertaan daripada negara-negara ASEAN.

Menurut kenyataan ITBM majlis yang diadakan bersempena Asian Festival of Childrens Content (AFCC) turut dihadiri Baey Yam Keng, Setiausaha Parlimen, Kementerian Kebudayaan, Komuniti dan Belia Singapura.

SKTAA merupakan inisiatif bersama Majlis Kebangsaan Pembangunan Buku Singapura (NBDCS) dan Samsung Electronics.

Anugerah ini bertujuan menjadikan karya buku bergambar kanak-kanak yang telah atau belum diterbitkan dari rantau ASEAN ditransformasikan dalam aplikasi digital untuk platform Samsung KidsTime.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: