TUMPAT - Seekor ular sawa batik sepanjang empat meter ditemui kekenyangan di kaki lima bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Pekan kira-kira jam 6 pagi tadi.
Kejadian itu disedari jaga sekolah dan kemudiannya menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Tumpat.
Penolong Kanan Kokurikulum SK Pasir Pekan, Che Zaharah Husain berkata, kemungkinan ular terbabit tersesat memasuki perkarangan sekolah ini.
"Mujur ada jaga sekolah ternampak, terserempak dengannya ketika ronda persekitaran sekolah," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM Tumpat, Mohd Shahiran Mohd Asri berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.11 pagi.
"Bersama dua anggota, saya bergegas ke lokasi untuk menangkap ular terbabit," katanya.