KOTA TINGGI - Keadaan cuaca panas yang melanda negara sehingga menyebabkan paras air di Sungai Gambut, Tanjung Sedili dekat sini mengering telah membawa kepada penemuan 17 rangka motosikal dipercayai dicuri.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, bertindak atas maklumat, Ketua Polis Kuala Sedili, Sarjan Mejar Md Tawal Abd Manap bersama beberapa anggota telah pergi ke lokasi terbabit pagi tadi.
Menurutnya, oleh kerana paras air sungai terbabit yang hampir kering akibat cuaca panas, beberapa rangka motosikal telah kelihatan tertimbus di bawah jambatan tersebut.
"Proses mengeluarkan dan memindahkan 17 rangka motorsikal telah dilakukan dan dibawa ke Balai Polis Kuala Sedili.
"Pemeriksaan dan semakan mendapati tiga rangka motorsikal dilaporkan hilang pada tahun 2012 hingga 2015 di Permas Jaya, Pasir Gudang dan Kluang," katanya, hari ini.
Rahmat berkata, sebanyak 14 daripada rangka motosikal terbabit nombor chasisnya telah diganggu dan berkarat.
Katanya, polis percaya semua rangka yang ditemui adalah motorsikal yang dilaporkan hilang dan cuba dilupuskan individu yang aktif dalam kegiatan mencuri motorsikal.
Tambahnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Sek 379A Kanun Keseksaan.