PELABUHAN KLANG - Aktiviti penyeludupan keluar burung murai ke Indonesia kerap berlaku berikutan permintaan tinggi sehingga harga boleh mencecah RM1,000 seekor.
Malah, burung itu yang merupakan spesies hidupan liar dilindungi dan mempunyai kicauan sangat merdu, menjadi pilihan untuk dijadikan haiwan peliharaan di Indonesia.
Namun, hasrat seorang tekong dan 14 awak-awak warga Indonesia untuk menyeludup keluar 100 burung murai ke Tanjong Balai, Indonesia di perairan Selangor kelmarin, tidak kesampaian apabila cubaan itu dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Daerah Klang.
Pengarah Maritim Daerah Klang, Kapten Mohd Rosli Abdullah berkata, sebuah bot perniagaan barter yang membawa burung murai itu ditahan 25 batu nautika dari Pulau Indah jam 7.20 malam ketika sedang melakukan rondaan di perairan itu.
Katanya, hasil pemeriksaan dalam bot menemui 16 sangkar berisi 100 burung murai untuk diseludupkan keluar bagi pasaran Indonesia.
“Maritim turut menemui 54 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia termasuk 11 wanita, berumur antara 20 dan 47 tahun yang berada dalam ruangan tersembunyi bot itu.
“Hasil soal siasat mendapati kesemua mereka membayar RM700 setiap seorang kepada tekong untuk pulang ke Indonesia,” katanya ketika ditemui pemberita di Jeti Maritim Daerah Klang, semalam.
Mohd Rosli berkata, kesemua burung murai itu yang boleh dijual antara RM100 dan RM1,000 seekor mengikut kualiti bagi pasaran Indonesia, akan diserah kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, tangkapan melibatkan burung murai adalah kes pertama bagi Maritim tahun ini.
Mohd Rosli berkata, tekong dan awak-awak berumur antara 28 dan 47 tahun ditahan mengikut Seksyen 26 (c) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (penyeludupan manusia) 2007.
“Kesemua Pati pula disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 pindaan 2002 kerana masuk ke negara ini menerusi laluan tidak diwartakan," katanya.