KEMAMAN - Cuaca panas melampau berikutan fenomena El Nino menyebabkan sungai di Felda Neram 1, di sini, hampir kering dan ketika ini, aliran air di sepanjang kira-kira lima kilometer sungai berkenaan sudah terputus-putus.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seratus Felda Neram 1, Aziz @ Muhammad Jusoh berkata, keadaan itu berlaku disebabkan beberapa bahagian dasar sungai berkenaan sudah timbul ke permukaan.
Menurutnya, paras normal air di sungai tersebut adalah sedalam 20 meter, namun sejak El Nino melanda beberapa bulan lalu, paras air sungai berkenaan surut setiap bulan.
"Sejak seminggu lalu air sungai ini hampir kekeringan dan situasi ini mendorong penduduk kampung turun menangkap ikan beramai-ramai kerana ia boleh didapati dengan mudah, iaitu dengan hanya menggunakan sauk dan jala.
"Aktiviti menangkap ikan beramai-ramai sudah seperti pesta, malah ada dalam kalangan mereka bersorak atas tebing apabila tengok ada penduduk berjaya naikkan ikan dengan banyak," katanya.
Katanya, pelbagai jenis ikan berjaya ditangkap oleh penduduk kampung dan spesies paling banyak diperoleh adalah lampam dan baung, serta lampam jawa yang terlepas dari kolam ternakan ikan di kawasan itu.
Walaupun keadaan air sungai hampir kering itu dilihat seolah-olah memberi rezeki kepada penduduk, namun jika berterusan, sungai tersebut dikhuatiri akan kering secara keseluruhannya.
"Bagi penduduk yang memperoleh pendapatan sampingan dengan memukat ikan di sungai, air sungai cetek mungkin menjejaskan rezeki mereka kerana aktiviti memukat tidak lagi dapat dilakukan.
"Kita juga tak mahu sungai ini tandus dan sebagai ikhtiar, kita laksanakan solat sunat Istisqa pada minggu lalu untuk memohon turun hujan. Pihak JKKK merancang untuk mengadakan solat sunat berkenaan sekali lagi pada minggu depan sebagai usaha berterusan," katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk kampung agar berhati-hati dan mengutamakan keselamatan diri dalam keseronokan mereka menangkap ikan di sungai berkenaan kerana pelbagai binatang berbisa seperti ular mencari kawasan sejuk untuk berlindung dalam keadaan cuaca panas melampau ketika ini.