NAMA Putri Najuwa barangkali sedikit asing buat sesetengah peminat industri tempatan.
Bahkan jika digali mengenai wanita berusia 30 tahun ini, tidak banyak cerita untuk dibaca melainkan kisah percintaannya dengan aktor Shaheizy Sam yang sudah lama berkubur.
Namun bagi yang setia mengikuti drama-drama tempatan, dan yang terkini drama Dawai Asmara, pasti perasan dengan pembawa wagak Natasha ini.
Mengakui dia kini sedang giat kembali mencipta nama, Najuwa yang mesra di sapa Wawa ini berharap kisah lalunya tidak lagi diperkatakan.
“Tidak dinafikan, kalau orang baru mengenali atau jumpa saya, antara ayat pertama yang mereka akan kata, awak bekas kekasih Sam kan?
“Saya agak tidak selesa dengan keadaan itu kerana kisah kami sudah terlalu lama berakhir. Bagi saya yang dah berlalu biarlah berlalu.
“Biarpun saya belum ada naskhah yang boleh dibanggakan, tapi saya mahu orang mengenali saya kerana kerja saya,” katanya kepada Zass.
Tambah Najuwa, meskipun dia sedar, dia perlu mengambil masa untuk dikenali, namun itu bukan alasan buatnya mencipta kontroversi murahan.
“Tidak dinafikan kontroversi sedikit sebanyak membantu menaikkan nama seseorang artis. Tapi janganlah kontroversi murahan.
“Kita kena tahu jaga diri supaya orang tidak mengambil kesempatan untuk mencipta kontroversi ke atas diri kita,” jelasnya.
Mengimbau penglibatannya di dalam bidang seni, pemilik nama penuh Tengku Putri Najuwa ini berkata, dia sudah menyertai industri seni sejak berusia 20 tahun.
Namun disebabkan beberapa perkara, dia meninggalkan industri selama lima tahun sebelum kembali aktif.
“Alhamdulillah biarpun nama saya mungkin masih asing, tapi saya sudah mendapat kepercayaan pengarah dan penerbit untuk membawakan pelbagai watak.
“Malah saya sendiri tidak kisah untuk membawakan watak jenis apa sekali pun kerana saya merasakan saya masih lagi dalam proses pembelajaran,” ujarnya.

Pilihan kedua
Dalam pada itu, berkongsi penglibatannya dalam drama Dawai Asmara, Najuwa berkata, biarpun dia merupakan pilihan kedua; di mana dia menggantikan Ika Nabella yang menarik diri, namun dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu.
Menganggap ia sebagai satu peluang dan rezeki, Najuwa berkata, dia berterima kasih kepada pengarah, Azma Aizal Yusof dan Aidilfitri Mohd Yunus yang banyak membantunya.
“Saya tidak tahu saya dipilih untuk menggantikan Ika. Mula-mula terfikir, adakah saya layak sebagai pilihan kedua? Tapi saya ambil dari sudut positif dan anggap semua ini sebagai satu peluang.
“Masa ditawarkan untuk berlakon, saya agak bimbang dengan Azma selepas apa yang berlaku. Tapi bila risik dengan kawan yang pernah bekerjasama dengannya, mereka kata Azma ok dan dia sememangnya sangat bagus.
“Ketika saya tiba di set, dia banyak membantu dan ada ketikanya untuk satu babak sahaja, dia boleh berbual selama setengah jam.
“Manakala abang Aidil pula sangat sempoi dan senang bekerjasama dengan dia,” katanya yang berharap akan lebih banyak diberi kepercayaan dan peluang berlakon selepas ini.