Monday, April 25, 2016

Projek amal rumah kucing




Projek amal rumah kucing
Projek rumah perlindungan kucing yang dijangka siap sepenuhnya pada 30 April ini.
JOHOR BAHRU - Sifat kasih dan sayang kepada haiwan peliharaan terutama kucing, mendorong Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Nor Azhar Abdul Hamid, 46, memulakan projek amal rumah perlindungan kucing.
Projek yang bermula pada November tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 30 April ini terletak di Jalan Haji Noh, Sungai Tiram.
Nor Azhar, 46, berkata, idea memulakan projek amal rumah kucing itu bermula ketika dia menjalankan tugas selaku Ahli Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).
“Ketika itu saya lihat banyak kucing terbiar berkeliaran di pasar awam, gerai makan dan terminal teksi serta bas.
“Sedih apabila melihat ada segelintir manusia tergamak memukul dan menjirus air kepada kucing yang tidak terurus ini kerana berkeliaran mencari makan dan berlindung.
“Dari saat itulah, saya bertekad buat sebuah rumah perlindungan untuk kucing,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Nor Azhar berkata, buat masa ini, kebanyakan kucing terbiar dibawa pulang ke kediamannya untuk diberi makan dan tempat berteduh buat sementara waktu.
Katanya, apabila rumah perlindungan kucing itu siap kelak, prasarana diusahakan dilengkapi tempat untuk haiwan itu bermain dan tidur.
“Rumah kucing ini ada dua tingkat dan setakat ini, kucing akan diletak dalam dua kandang sebesar 20 kaki x 20 kaki bagi setiap kandang.
“Di dalamnya ada tempat untuk kucing bermain dan tidur. Ada juga tempat untuk makan dan minum serta tempat buang najis,” katanya.
Beliau berkata, projek yang sudah hampir 90 peratus siap itu dijangka mampu memberi perlindungan buat kira-kira 400 kucing.
“Saya usahakan projek ini dengan mengeluarkan kos sendiri dan ada juga sumbangan daripada kawan-kawan rapat.
“Tidak kisah kucing dari mana pun, tiada masalah selagi termampu untuk menanggung kos perbelanjaan makanan dan pembantu yang akan menjaga kucing ini,” katanya.
 Pada masa sama, Nor Azhar mengakui, mencari penyumbang ikhlas untuk turut sama menyumbang dalam projek rumah perlindungan kucing itu.

1 comment:

  1. Saya nak serah kucing tolong bantu saya sya sudah tak mampu bagi makan

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: