KLUANG - Majlis Perbandaran Kluang (MPK) melancarkan program Kluang Kreatif1020 sebagai tempat tumpuan baharu untuk masyarakat di daerah ini beriadah bersama keluarga.
Yang Dipertua MPK, Ismail Abu berkata, program itu inisiatif pihaknya mempelbagaikan pusat rekreasi di daerah ini, selain Taman Tasek Putih Kluang dan Taman Merdeka.
Beliau berkata, Kluang Kreatif1020 adalah program mencantikkan lorong belakang kedai dengan lukisan mural, 3D dan kesenian.
“MPK memperuntukkan RM20,000 untuk mencantikkan lorong belakang sepanjang 100 meter di Jalan Teoh Siew Khor dengan 24 mural.
“Lukisan mural ini melibatkan dua dinding di belakang lorong premis untuk dijadikan laman kreatif sebagai daya tarikan kepada masyarakat di daerah ini.
“Kali ini kami beri peluang kepada masyarakat di daerah ini untuk melihat sendiri bagaimana lukisan mural dibuat. Jika sebelum ini kita hanya akan war-warkan kepada orang ramai apabila siap, tetapi inilah kelainan ingin diketengahkan untuk menunjukkan cara lukisan tersebut dihasilkan,” katanya selepas pelancaran program Kluang Kreatif1020 di belakang lorong Jalan Teoh Siew Khor, di sini, semalam.
Ismail berkata, nama Kluang Kreatif1020 dipilih sempena pembukaan daerah Kluang sejak 1910 dan perubahan yang akan dialami hingga 2020.
Katanya, konsep diketengahkan adalah berdasarkan keadaan zaman pembukaan, kini dan masa akan datang.
“Laman kreatif ini akan dilukis dengan lukisan menggambarkan daerah ini sendiri yang lebih kepada kereta api dan kopi.
“Itulah yang menjadi keistimewaan di daerah ini dan ia akan dijalankan secara berperingkat. Lorong belakang ini adalah fasa pertama termasuk dalam projek Rancangan Khas Kawasan (RKK)," katanya.