SUSSEX - BRITAIN. Penduduk yang tinggal di sebuah kawasan perumahan di sini terkejut selepas menerima arahan dari pihak berkuasa tempatan untuk tidak membenarkan anak-anak bermain di hadapan rumah jika tidak mahu diusir.
Majlis Daerah Wealdan, East Sussex mengeluarkan arahan minggu lalu, dengan menghantar notis kepada 28 penyewa di  Evelyn Clark Square, Forest Row yang memberitahu kanak-kanak hanya dibenarkan untuk bermain di taman belakang rumah atau di taman permainan berhampiran.
Kawasan perumahan yang lengkap dengan panel solar dan bumbung ditanam dengan rumput, siap dibina pada tahun 2014 dengan 28 unit kediaman dilengkapi dua atau tiga bilik.
Susulan arahan itu, penyewa mengadakan mesyuarat tergempar selepas pihak majlis menghantar surat pemberitahuan itu yang bakal berdepan pengusiran jika anak-anak dilihat bermain bola, berbasikal di halaman depan rumah mereka.
Penduduk memberitahu, anak-anak hanya dibenarkan bermain di taman belakang rumah atau jika tidak mempunyai kemudahan itu, mereka perlu bermain di taman permainan berhampiran.
"Ia adalah lebih selamat bagi semua pihak jika kanak-kanak bermain di belakang rumah dan bukannya di halaman depan rumah," menurut surat pemberitahuan itu.
Scott Fisher, 39, tinggal bersama teman wanita Joanee Ivison, 30, dan dua anaknya menyifatkan larangan itu sebagai ancaman yang tidak masuk akal.
"Kami bukan tinggal di Korea Utara atau China," katanya dipetik Metro.uk.
Tambah Scott, ancaman pengusiran kelihatan sedikit melampau malah tidak ada dalam perjanjian sewa yang mengatakan mereka tidak dibenarkan untuk bermain di luar.
Sementara itu, jurucakap majlis berkata, halaman rumah kawasan perumahan tersebut bukanlah tempat yang selamat untuk bermain kerana pemilik dan pelawat melalui jalan utama.
"Kebanyakan rumah mempunyai taman sendiri di belakang rumah yang menyediakan ruang untuk kanak-kanak bermain malah terdapat sebuah taman permainan berdekatan disediakan," katanya.