TUMPAT - Jika dakwaannya benar berusia 110 tahun, warga emas ini, Che Will Daud dari Kampung Bunut Sarang Burung, mungkin direkodkan sebagai lelaki tertua di negeri ini.
Sebelum ini, Mat Salleh Ali dari Kampung Gelugur, Bukit Panau, Pasir Mas yang dikatakan paling tua, meninggal dunia dua tahun lalu pada usia 161 tahun, manakala wanita dipercayai tertua di Asia, Esah Jusoh, 115, dari Machang meninggal dunia Oktober tahun lepas.
Guinness World Records sebelum ini mengiktiraf Yasutara Koide, 122, dari Jepun sebagai manusia tertua, manakala wanita Perancis, Jeanne Calment yang meninggal dunia ketika berusia 122 tahun pada 1997, memegang rekod manusia paling lama hidup di dunia.
Bagaimanapun, Che Will berkata, tarikh kelahiran yang tercatat pada MyKad ialah 29 Jun 1922 dan bermakna usianya kini 94 tahun.
“Umur saya sebenarnya sudah 110 tahun, tak sama dalam kad pengenalan. Sebab ketika saya dilahirkan, tak ada yang usaha daftar kelahiran.
“Selepas perkahwinan yang ketiga, baru saya pergi buat kad pengenalan ini,” katanya.
Che Will yang berkahwin sebanyak tiga kali dan dikurniakan dua anak, masih sihat meskipun usianya sudah mencecah lebih 100 tahun.
Penglihatan Che Will masih jelas dan boleh bercucuk tanam pada masa lapang dengan menanam pokok ubi kayu.
“Setakat nak bercangkul ni, saya masih mampu lagi. Tanah lapang di hadapan rumah ni saya tanam pokok ubi kayu.
“Nak bagi makan ayam ternakan pun, masih kuat. Cuma nak berjalan ulang-alik ke surau sejak kebelakangan ini, sudah tidak larat. Saya sakit belakang mungkin sebab badan dah bongkok tiga,” katanya.
Ditanya apa rahsia dia kekal sihat, Che Will yang merupakan peniaga daging lembu tersohor suatu ketika dulu berkata, dia tidak pernah minum minuman berais dan banyak berjalan kaki.
Sebelum ini, dia boleh berjalan kaki berulang-alik ke surau sejauh 500 meter, namun tahun ini dia sudah tidak larat kerana sakit belakang.
Bagaimanapun, keadaan itu tidak menghalangnya untuk solat berjemaah lima waktu di surau kerana ada anaknya menghantar dengan motosikal.
Che Will berkata, aspek pemakanan juga dititikberatkan apabila tidak menjamah sayur-sayuran yang disemburi racun.
“Sayur yang ditanam sekarang banyak disemburi racun, memang saya tak makan. Kalau sayur yang saya tanam sendiri, saya makan sebab tak sembur racun.
“Paling saya gemar adalah terung dengan ikan kering haruan. Saya juga tak makan malam,” katanya.
Hasil perkahwinan dua anaknya, Che Wil mempunyai 15 cucu dan 30 cicit.