Wednesday, April 27, 2016

APO2016: Siapa Selebriti Media Sosial Pilihan Online?



(arah jam) Amran Fans, Faiz Dickie, Ucop, Mat Luthfi dan Luqman Podolski, finalis bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online bagi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016).
PETALING JAYA: Kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online dilihat sebagai antara ‘kerusi panas’ dalam Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016).
Kategori ini menjadi tumpuan ramai berikutan media sosial merupakan platform yang diikuti ramai tanpa mengira usia dan latar belakang dari seluruh dunia.
Calon lima terbaik bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online bukan calang-calang, semuanya begitu dikenali dan berpengaruh sama ada di Instagram, Facebook, Youtube dan Twitter.
Mereka ialah Amran Fans, Faiz Dickie, Ucop, Luqman Podolski dan Mat Luthfi.
Karya, video, gambar mahupun kata-kata mereka menjadi viral, ada yang mencuit hati, mencetuskan sensasi malah turut menimbulkan kontroversi.
Amrans Fans yang mempunyai hampir sejuta pengikut di Facebook menarik perhatian ramai dengan kata-katanya yang lucu, secara spontan dan sinis serta berbaur sindiran.
Bagaimanapun, identiti Amran Fans masih menjadi misteri sehingga menimbulkan tanda-tanya siapakah di sebalik wajah lelaki yang sering dipaparkan dalam gambar yang dimuat naiknya menggunakan teknik ‘super-impose’.
Membawa komuniti unik dan tersendiri bergelar ‘Village People’, aksi Faiz Dickie melucukan tetapi sarat dengan mesej menerusi pelbagai watak dari Kak Leha Bunting, Sarabanon, Naabella, Nurse Puaka, Cik Yam sehingga ke Pak Leman.
“Kalah menang itu adat bertanding, tetapi saya pastinya berdebar menjelang majlis anugerah pada Sabtu ini. Kepada semua pengikut terutama komuniti ‘Village People’, teruskan memberi sokongan,” kata Faiz Dickie.
Luqman Podolski pula merupakan anak muda yang bermula di platform Vine dan kemudiannya berhijrah ke Instagram, menghasilkan video kreatif dan menghiburkan.
“Memang rasa berdebar, takut kalau kalah, tetapi saya anggap pencalonan ini menunjukkan usaha saya di media sosial selama ini berbaloi,” ujar Luqman Podolski.
Berbeza dengan kebanyakan calon lain dalam kategori ini, Mat Luthfi menggunakan YouTube sebagai medium bagi membicarakan pelbagai isu dengan gaya bersahaja.
'Suara' Mat Luthfi didengari ramai terutama generasi muda kerana penyampaiannya berkisarkan kehidupan dan apa yang dihadapi kebanyakan orang hari ini.
Finalis Selebriti Media Sosial Pilihan Online yang diberikan jolokan ‘Raja Dubsmash Malaysia’, Ucop kini bergelar pelakon, berpeluang memegang watak utama dan bergandingan dengan pelakon popular seperti Nora Danish dan Sharifah Sakinah.
 “Saya tidak melihat kesemua calon sebagai saingan atau pencabar saya, tetapi sebagai individu yang dicalonkan orang ramai. Sama ada menang atau kalah, saya berbesar hati menjadi salah seorang calon dalam kategori ini,” kata Ucop.
Jika anda mahu memilih siapa yang dijulangkan sebagai Selebriti Media Sosial Pilihan Online bagi APO2016, anda masih boleh berbuat demikian sehingga hari ini, (27 April, Rabu) yang merupakan hari terakhir pengundian yang dibuka sejak 1 April lalu.
Undian boleh dibuat setiap hari (sekali sehari) menerusi akaun Facebook, Instagram dan Google di laman web http://apo.mstar.com.my/undi.aspx
APO2016 dianjurkan oleh mStar Online bersama Suria FM serta dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi.
Malam kemuncak APO2016 bakal diadakan pada 30 April 2016 (Sabtu) dan akan dipancarkan secara langsung menerusi TV2 dari Auditorium Perdana, Angkasapuri Kuala Lumpur, pukul 9 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: