KUANTAN - Kawasan rekreasi seperti air terjun antara lokasi tumpuan orang ramai bagi menyejukkan badan susulan cuaca panas yang dirasai kini.
Tinjauan Sinar Harian mendapati suasana di Air Terjun Sungai Pandan, Panching di sini meriah dengan kehadiran ramai pengunjung walaupun pada hari bekerja.
Dua beradik, Nor Aisyah Azmi, 30, dan Nor Atikah Azmi, 25, mendakwa mereka berkunjung ke air terjun itu dua kali pada bulan ini.
Nor Aisyah berkata, walaupun dari Balok Perdana, dia sanggup datang bersama anak-anaknya serta ahli keluarga lain untuk bermandi-manda selain beriadah di situ.
“Musim panas ini memang kita nak tempat sejuk dan pusat air terjun memang pilihan tepat untuk kami berendam selain dapat beriadah dengan tenang bersama keluarga.
“Lagipun saya puas hati dengan kemudahan dan suasana di sini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Air Terjun Sungai Pandan, di sini kelmarin.
Manakala Nor Atikah yang menetap di Batu 12, di sini berkata, kunjungan ke pusat air terjun itu dilihat antara alternatif sesuai selain menggunakan pendingin hawa atau berada di pusat beli belah.
Maziah Hassan, 50, pula berpendapat kunjungan ke pusat air terjun itu bersama keluarga dapat mengurangkan ketidakselesaan akibat cuaca panas yang dialami sejak beberapa bulan lalu.
Sementara itu, penolong pengurus pusat rekreasi itu, Mohd Faiz Shahrudin mengakui kehadiran pengunjung memberangsangkan walaupun pada hari bekerja.
Menurutnya, secara purata pusat tersebut menerima kehadiran lebih 200 pengunjung pada hari biasa selain lebih 500 orang ketika cuti umum dan hujung minggu.
“Bagi kita pula, langkah berhati-hati dan pengawasan terus menjadi fokus untuk memastikan keselesaan serta keselamatan pengunjung yang beriadah di sini.
“Kakitangan bertugas akan buat pemeriksaan dan lihat situasi air seperti kepala air sebelum ia dibuka kepada orang ramai,” katanya.