SERAMAI sembilan artis bakal menggegarkan Konsert Al Jannah Global Marketing Sdn Bhd di Padang B, Plaza Angsana Johor Bahru pada 21 Mei ini sempena Karnival Orang Besi Mahakota Dewa 2016.
Konsert yang mendapat kerjasama Zass Sinar Harian dan Media Hiburan ini bakal menggabungkan artis berpengalaman dan yang sedang mencipta nama seperti Alyah, Ayai Ilusi, Faizal AF, Ippo Hafiz, Sufi AF, Amira Othman, Mustar, Mya Herry dan Fir (P Ramlee Singapura).
Konsert bermula jam 9 malam dan berlangsung selama dua jam itu akan dihangatkan lagi oleh penampilan dua pelawak terkenal Ebby Yus serta Ropie yang bergandingan sebagai hos pada malam tersebut.
Menurut Pengerusi Eksekutif AGJM, Datuk Zulkefli Md Isa, tujuan utama konsert itu diadakan bagi memberi hiburan santai secara percuma kepada pengunjung Karnival Orang Besi Mahakota Dewa 2016 anjuran Al Jannah Event & Management.
Menurut beliau, ia juga sebagai penghargaan kepada pengedar, stokis dan pengguna produk Al Jannah yang banyak memberi sokongan kepada syarikat itu.
“Konsert ini ditaja sepenuhnya oleh AJGM dan dibawakan khas sebagai penghargaan kami kepada warga AJGM termasuk pengguna dan seluruh masyarakat di negeri Johor ini.
“Manakala dari segi pemilihan artis pula, kita menggabungkan penyanyi terkenal dan bakat baharu yang sedang mencipta nama,” katanya.
Bercakap mengenai karnival pula, Zulkifi menjelaskan julung kalinya Al Jannah Global Marketing (AJGM) Sdn Bhd menganjurkan Karnival Orang Besi Mahkota Dewa 2016 yang bakal diadakan di Padang B, Plaza Angsana Johor Bahru pada 20 hingga 22 Mei depan.
Karnival yang bakal mencari Orang Besi Mahkota Dewa itu adalah sebahagian daripada rangka promosi dan strategi pemasaran untuk memperkenalkan keseluruhan produk AJGM serta syarikat berkenaan kepada masyarakat.
Beliau berkata, misi utama penganjuran Karnival Orang Besi Mahkota Dewa 2016 itu untuk mendidik masyarakat mempraktikkan gaya hidup sihat dalam suasana penuh keceriaan.
“Umum mengetahui rangkaian produk AJGM memenuhi keperluan kesihatan individu dan kami berharap melalui penganjuran karnival ini secara tidak langsung akan mempromosikan gaya hidup sihat.
“Atas inisiatif itu, acara dan aktiviti yang diadakan sepanjang karnival ini meliputi semua lapisan umur, dari kanak-kanak, remaja, ibu dan bapa,” katanya.
Aktiviti lain ialah pencarian Abang Sado Mahkota Dewa di samping acara lain seperti pertandingan tarik tali, memasak, bola jaring 3 0n 3, acara lasak untuk kanak-kanak, program keagamaan Bicara Qalbu dan juga zumba.
“Menerusi penganjuran karnival ini kita bukan hanya melibatkan acara di padang, sebaliknya didedahkan dengan program kerohanian menerusi Bicara Qalbu dan hiburan menerusi Konsert Al Jannah Mahkota Dewa.
Karnival ini turut membuka peluang-peluang perniagaan kepada usahawan khususnya usahawan IKS melalui sewaan tapak gerai dan juga trak makanan pada harga sewaan berpatutan.