Thursday, March 31, 2016

Ubah suai bas jadi tempat tidur




Ubah suai bas jadi tempat tidur
Kamil (tengah) bersama sebahagian pelajar dan guru yang mengikuti aktiviti yang disediakan di KSCC Jeram.
JERAM – Kuala Selangor Cabin Camp (KSCC) Jeram kini bukan sahaja memiliki balai ilmu bagi kelas agama percuma kepada penduduk setempat, malah turut menyediakan penginapan dalam bas yang dikenal sebagai busstay untuk memenuhi permintaan inap desa di Kampung Bukit Hijau.
Keunikan kenderaan yang diubah suai ini menjadi salah satu tarikan buat pengunjung selain lapan unit kabin yang disediakan dalam satu tapak yang lengkap dengan kemudahan sukan ekstrem seluas 0.6 hektar.
Pengusaha, Kamil Sidek berkata, setiap RM10 daripada bayaran yang diterima akan dimasukkan ke dalam tabung aktiviti Balai Ilmu Celik Al-Quran dan kelas agama untuk penduduk kurang berkemampuan.
“Saya terpanggil menyediakan penginapan busstay ini selepas melihat keunikan bas yang diguna sebagai hotel di Pantai Klebang, Melaka dan cuba bawa kelainan untuk KSCC Jeram.
“Sebenarnya, dah jadi hasrat saya bangunkan satu balai ilmu untuk masyarakat setempat sebagai satu khidmat sosial selain membuka tempat program motivasi dan bina insan,” katanya yang sering menerima kunjungan pihak sekolah dan agensi kerajaan.
Beliau yang mesra dengan panggilan Ustaz Kamil itu mengakui, permintaan inap desa cukup tinggi ketika musim cuti sekolah meskipun KSCC Jeram terletak dalam kampung.
“Orang sekarang lebih suka menyewa di homestay jika pulang ke kampung dan KSCC Jeram sentiasa jadi pilihan mereka. Mungkin saya mahu tambah penginapan bas dua tingkat untuk tarikan baru pada masa akan datang.
“Saya percaya, semakin ramai yang menginap di sini, insya-ALLAH semakin banyak sumbangan untuk pembesaran dewan pondok balai ilmu,” katanya yang turut menyediakan aktiviti memanah dan perkhemahan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: