PELAKON yang juga pengacara terkenal, Scha Al Yahya mengakui tidak bersedia digandingkan sepentas bersama suaminya, Awal Ashaari.
Menurutnya, suaminya itu mempunyai kelas tersendiri sebagai pengacara.
“Bagi saya, Awal pengacara yang sangat bagus. Dia sentiasa bijak dan peka mengenai isu sekeliling.
“Malah sebelum mendapat tugasan bagi mana-mana acara yang dihoskan, dia akan mendapatkan info-info terlebih dahulu.
“Sebab itu saya bimbang jika sepentas dengannya, saya akan tenggelam,” katanya ketika ditemui selepas sidang media Gempak Superstar di Live House KL.
Kata ibu kepada Lara Alana ini, dia pernah menolak tawaran untuk mengacarakan sebuah program bersama Awal.
“Saya terpaksa menolaknya kerana belum bersedia. Apa pun, jika ada tawaran sama selepas ini, mungkin saya akan mempertimbangkannya,” katanya.
Berkongsi mengenai dirinya menjadi pengacara Gempak Superstar, kata Scha, dia sangat teruja mengendalikan program itu.
“Saya sendiri rindu bergelar pengacara kerana sudah lama tidak melakukan pekerjaan ini.
“Jadi tawaran yang datang amat tepat. Ini masa sesuai untuk saya kembali sebagai pengacara, lagipun anak juga sudah semakin besar,” katanya.
Bercerita lanjut, kata pelakon berusia 33 tahun ini, cabaran baharu baginya memastikan penampilan sebagai pengacara program berkenaan diterima penonton.
“Sudah lama saya tidak beraksi secara langsung, bimbang juga tidak mampu mengawal diri dan tidak menepati tema program.
“Tetapi, saya pastikan membuat yang terbaik dan memberi sesuatu yang baharu kepada penonton nanti,” katanya.
Mengacara bersama Sharnaaz
Menariknya, kali ini Scha bukan beraksi sendiri di pentas Gempak Superstar, sebaliknya digandingkan bersama pelakon Sharnaaz Ahmad.
Akui bintang Awan Dania The Movie ini, dia sebenarnya terkejut mendapat tahu digandingkan dengan pelakon filem Juvana itu.
“Bagi saya, Sharnaaz seorang yang sangat gila-gila dan akan cakap apa sahaja yang dia suka.
“Tetapi, dia juga bagus kerana mempunyai banyak idea untuk diketengahkan. Cuma, akan menjadi cabaran besar kerana kedua-dua kami ini mempunyai karakter gila-gila,” katanya.
Kerana itu, jelas Scha, dia yakin gandingan mereka akan memberikan kelainan kepada program tersebut.
Ditanya apakah dia bimbang kelihatan seperti pelawak ketika mengendalikan program itu, Scha menegaskan, dia dan Sharnaaz bukan pelawak.
“Kami berdua bukan pelawak, jadi kami akan memastikan tiada lawak-lawak tidak berkaitan muncul ketika mengacarakan program ini.
“Apa yang perlu kami buat, hanya menghiburkan penonton,” katanya.
Berkongsi pandangan mengenai kredibiliti seorang pengacara, kata Scha, seseorang perlu bijak dalam apa juga keadaan sekalipun.
“Jika ada salah dan silap, pasti teruk dihentam. Sebab itu, sebelum melakukan kerja ini, ilmu dan pengetahuan amat penting.
“Jangan jadi pengacara yang tiada ilmu. Ia hanya membuatkan kita nampak ‘bodoh’ di mata penonton,” katanya.
Gempak Superstar bakal bersiaran pada 10 April ini setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria dan Astro Ria HD.